Mahkamah perintah PAS bayar hutang RM656,000 pada bekas pencetak Harakah


PAS diperintahkan untuk membayar hutang sebanyak RM656,233.69 kepada bekas pencetak akhbar Harakah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini memerintahkan PAS membayar hutang sebanyak RM656,233.69 kepada bekas pencetak akhbar Harakah.

Mahkamah petang ini membenarkan permohonan NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd untuk penghakiman ringkas (keputusan mahkamah tanpa perbicaraan penuh) terhadap PAS dan dua defendan lain.

Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun memutuskan selepas mendapati mereka sebelum ini mengakui jumlah terhutang melalui surat-menyurat mereka.

“Mahkamah menganggap ini sebagai pengakuan jelas defendan (PAS dan Harakah Daily) berhubung hutang mereka kepada plaintif (NAJ Press Resources Sdn Bhd), dan ia sepatutnya mengikat mereka dengan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata sebahagian pembayaran daripada jumlah terhutang dibuat pada 31 Oktober 2017. Bagaimanapun, terdapat baki RM656,233.69.

“Mahkamah percaya pembelaan yang dibangkitkan hanyalah penafian kosong dan fakta (yang dibangkitkan) mengenai syarikat percetakan lain yang tidak relevan dengan tuntutan ini adalah tidak relevan dan percubaan untuk mengelirukan mahkamah,” kata Lailatul.

Kedua-dua defendan ialah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan penerbit jurucakap parti itu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd.

Peguam Plaintif Putra Taulan Rasul berkata mahkamah sivil juga memberikan kos sebanyak RM3,000.

Peguambela defendan Mohd Faizi Che Abu berkata mereka akan merayu ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

Mereka juga akan memohon untuk menangguhkan keputusan mahkamah rendah sementara menunggu rayuan Mahkamah Tinggi mereka diselesaikan, tambahnya.

Pada Ogos 2019 Malaysiakini melaporkan hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya pada masa itu iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Takiyuddin sebelum ini berkata terdapat sejumlah wang yang masih berhutang dengan pencetak itu tetapi menafikan mereka cuba mengelak daripada membayar. – 5 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen