Ahmad Lutfi Othman: Penyala api yang belum padam


Faisal Tehrani

SEKITAR tahun 1998, entah bagaimana, saya sendiri sudah terlupa, saya berkenalan dengan arwah Ahmad Lutfi Othman yang meninggal dunia sehari sebelum Hari Raya Korban yang lepas.

Saya ke Medan Idaman di Gombak, dengan bas mini dan dengan canggung sekali menemui beliau buat pertama kali. Ketika itu saya masih menuntut di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Masih pucuk dan baru bertunas. 

Saya kemudian dipelawa dan diajar menulis untuk majalah terbitan beliau: Tamadun, Wasilah, Detik dan entah beberapa lagi penerbitan berkala dengan pelbagai nama pena.

Dalam tahun 2000, Lutfi menimbangkan untuk menerbitkan antara novel terawal saya iaitu ‘Perempuan Politikus Melayu’. Beliau memberitahu sudah meminta Dinsman, yang ketika itu belum saya tahu hubungannya dengan Lutfi, untuk menilai manuskrip saya tersebut. Bagai tidak percaya saya yang Lutfi akan menerbitkan ‘Perempuan Politikus Melayu’. 

Memang saya sudah ada sebuah novel dengan nama lain di Creative Enterprise, akan tetapi kali ini dengan nama pena yang sudah dikenal – Faisal Tehrani – ia amat mengujakan saya.

Syukur novel itu mendapat perhatian elit sastera dan tercalon Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Tatkala itu Hadiah Sastera Perdana amat berprestij, ketika kritikus dan sarjana sastera membaca apa sahaja penerbitan (tanpa perlu dicalonkan oleh penerbit atau pengarang). Maka tidak pasal-pasallah penerbitan milik Lutfi – Penerbitan Pemuda – mencipta nama sebagai penerbit sebuah novel sastera.

Sejak itu saya menulis bermacam-macam lagi untuk Lutfi. Apabila beliau kembali ke Harakah, walau menyampah (katanya), saya juga ikut menyumbang di akhbar milik parti PAS itu. 

Ketika era reformasi berlaku, Tamadun kelolaan Lutfi mencipta sensasi luar biasa. Ia semacam tular dan terjual ratus ribu naskah. Isi dan muatan majalah itu amat mencabar sekali pada waktu itu. Saya ikut berkenalan dengan ketua Media Selangor, Fathi Aris Omar juga editor Dewan Bahasa dan Pustaka, Suria Janib ketika ini.

Sepanjang perkenalan dengan Lutfi, saya melihat beliau menahan kesakitan (yang macam-macam dan kurang tahu saya apa). Mata beliau juga tidak begitu nampak. Antara tekanan yang saya lihat dengan mata kepala saya sendiri ialah luka beliau ditindas pelbagai akta zalim untuk mencekang kebebasan bersuara. Berapa banyak majalah dan penerbitan beliau digam dan dibungkus. Terlalu kerap polis dan Kementerian Dalam Negeri datang menyerbu sehingga Lutfi sudah menjadi lali.

Lutfi tidak pernah lelah. Suara beliau yang kuat dan bertenaga tatkala memperihalkan gangguan-gangguan pihak berkuasa itu mengisyaratkan beliau tidak takut. Dia selalu berpesan dengan saya: “Jangan takut, setiap kezaliman ada hadnya; jika kita melawan sampai hadnya juga; maka mereka akan tewas.”

Pun, ada satu momen saya lihat beliau semacam terhempuk. Iaitu di saat ada orang tersayang meninggal dunia dan beliau serasa tiada pada detik yang penuh duka tersebut. Saya lihat beliau amat terhenyak dan digilis. Suara beliau terketar dan dibalut kesyahduan. Matanya berair dan tubuh beliau susut. Banyak kali dia mengadu.

Seperkara yang perlu saya catit ialah Lutfi sering mengeluh sikap tidak profesional Harakah di bawah PAS. Gaji staf yang lambat dibayar, hutang dengan pencetak, atau keculasan honorarium untuk penulis sambilan dan kecil seperti saya. 

Lutfi menggegar pimpinan PAS. Dia marah-marah. Mereka gentar akan Lutfi, pengaruh dan rekod beliau menabrak kerajaan di era reformasi amat berkuasa sekali.

Beberapa tahun lagi kemudian, apabila Ketupat Cinta yang disirikan ditamatkan secara tiba-tiba di Harian Metro kerana Mufti Perlis menulis surat kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam memfitnah saya sebagai penganut syiah, Lutfi menawarkan saya menulis sambungannya di Harakah. 

Beliau tidak sedikit pun mempersoalkan apakah saya sesat atau tidak. 

Saya masih ingat, kesediaan beliau itu amat berbaloi kerana saya pernah dihubungi oleh seniwati Azean Irdawaty: “Kak Yan ikuti Ketupat Cinta, dah ditamatkan di Metro pun Kak Yan cari pula di Harakah.”

Jadi kata Lutfi kemudian, saya ikut menarik pengikut untuk membaca akhbar bersuara konservatif milik pembangkang tersebut.

Selepas saya sibuk bikin Phd di Universiti Kebangsaan Malaysia, dan berkelana di Turki selama dua tahun, dan Jerman kemudiannya, hubungan saya semacam terputus dengan Lutfi. Saya hanya mendengar sayup-sayup daripada beliau. 

Ada sekali beliau menjelma meminta saya menuliskan sesuatu mengenai kebebasan media, dan saya menulis mengenai kekuatan dan kewibawaan beliau sebagai wartawan yang tidak boleh pupus dan kekal menyengat. Judul artikel itu, ‘Pupusnya Seorang Wartawan Spesis T-Rex’.

Apabila ada karya-karya saya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri di tangan Ahmad Zahid Hamidi saya memilih untuk memuhasabah diri dan hubungan saya dengan Ahmad Lutfi terputus lagi.

Pun beliau sekali lagi menjelma meminta saya menulis sesuatu selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14. Beliau sangat gembira kerana kerajaan Barisan Nasional yang korup dan kurap itu dapat dijatuhkan. Tentu, Lutfi tidak bersama Parti Islam Semalaysia lagi. Menyampah beliau itu sudah menjadi sumpah.

Saya pun menulis sebuah catatan untuk dimuatkan dalam buku susunan beliau ‘Revolusi Tanpa Darah’. Tatkala itu mata Lutfi sudah tidak begitu nampak lagi. Itu pun beliau amat bersemangat untuk melawan.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan kerana kumpulan pengkhianat dari PKR dan Bersatu, Lutfi sangat kecewa. Beliau sangat meruap marah terhadap Ahli Parlimen Ampang yang mengkhianati undinya. Saya sangat memahami kebencian itu, yang membawa saya untuk menjauhkan diri daripada Zuraida Kamarudin. Ini pesen orang yang gagal melihat sumbangan dan jasa orang.

Lutfi adalah ikon dan suara menuntut kebebasan bersuara. Sayang, kalau wartawan generasi baru tidak mengenal beliau. Tak pernah saya melihat orang yang tidak berundur meski mejanya diterbalikkan, barangnya dirampas dan suaranya diselotepkan. Lutfi sangat berani.

Serba sedikit percik berani Lutfi menempias ke saya. Saya belajar menulis kolum atau pojok daripada beliau. Apabila Lutfi dicekang pihak berkuasa, saya juga rasai geruhnya apabila diekori.

Oleh kesibukan dunia yang tidak sudah-sudah saya tidak dapat menziarahi Lutfi pada saat uzurnya.

Sekarang Lutfi sudah pergi. Suara bergema beliau menyuruh saya menulis “dengan jangan takut atau gerun tapi dengan keazaman dan penuh perlawanan” itu sudah tiada.

Ahmad Lutfi, selamat berehat, kamu telah dibebaskan dari perjuangan ini. 

Memang media tidak lagi merdeka seperti diharapkan, tetapi ada satu generasi pemberani telah dikuatkan dan diberi motivasi untuk menggempur.

Terima kasih Lutfi membina orang seperti saya. Terima kasih kerana menyalakan api yang belum padam dalam kalangan kami. – 12 Julai, 2022.     

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen