Lokman Adam mohon semakan kes hina mahkamah berkait kes 1MDB


Ravin Palanisamy

Pada 15 Julai 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor Adam selepas beliau didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2023.

PENGARAH Komunikasi Umno Lokman Noor Adam memohon Jabatan Peguam Negara menyemak semula kes menghina mahkamah terhadapnya kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Susulan itu Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan Lokman untuk membatalkan keputusan mahkamah yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadapnya kepada 14 Februari tahun depan.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah bahawa mereka baru sahaja menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Turut bersidang ialah Hakim Zabariah Mohd Yusof dan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan AGC baru sahaja menerima representasi itu, menambah mereka memerlukan masa untuk meneliti dokumen tersebut.

Mohd Dusuki juga berkata mereka tiada bantahan terhadap permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan tarikh pendengaran rayuan hari ini.

Berikutan itu panel tiga hakim menangguhkan pendengaran kepada 14 Februari.

Pada 15 Julai 2021, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas beliau didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Saksi itu ialah bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.

Sequerah dalam penghakimannya berkata Lokman melakukan penghinaan dengan mengancam Amhari yang merupakan saksi pendakwaan kelapan.

Lokman didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada September 2019.

Beliau didakwa mengeluarkan perkataan yang bersifat ancaman dan ugutan kepada Amhari Effendi dalam satu tembu bual, yang memberi keterangan dalam perbicaraan ke atas Najib di Mahkamah Tinggi.

Lokman juga membuat laporan polis terhadap Amhari berhubung keterangannya di mahkamah.

Tindakannya itu dilihat cuba mengganggu dan menakut-nakutkan saksi dalam kes terhadap Najib. – 5 Disember, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen