Lagi gempa bumi di selatan Filipina


Gempabumi berkekuatan 6.9 magnitud melanda pantai selatan Filipina awal hari ini. – Gambar USGS, 4 Disember, 2023.

GEMPA bumi berkekuatan 6.9 magnitud melanda pantai selatan Filipina awal hari ini,  menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran terbaru yang tertumpu di kawasan sama.

Gempa melanda sejurus sebelum jam 4 pagi waktu tempatan, pada kedalaman 30km, kira-kira 72km timur laut perbandaran Hinatuan di pulau Mindanao.

Ia menyusuli kejadian gempa bumi 6.6 magnitud semalam dan gempa dengan kekuatan 7.6 magnitud pada Sabtu di wilayah sama, yang mencetuskan amaran tsunami.

Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas gempa semalam, kata pihak berkuasa. Ia diikuti dengan beberapa siri gegaran susulan dengan magnitud lebih 6.0 hingga Ahad, menurut USGS.

Polis Hinatuan berkata gempa pada petang semalam menyebabkan orang ramai sekali lagi bergegas keluar dari kediaman masing-masing.

“Mereka panik kerana teringatkan gempa pada malam sebelumnya (Sabtu),” kata Lambo kepada AFP.

Gempa bumi pada Sabtu mencetuskan amaran tsunami di seluruh rantau Pasifik dan menyebabkan penduduk di sepanjang pantai timur Mindanao mencari perlindungan di kawasan yang lebih tinggi.

Institut Seismologi Filipina pada mulanya memberi amaran tsunami selepas gempa pertama Sabtu, menjangkakan gelombang yang “mengancam nyawa”. Amaran itu kemudian ditarik semula. – AFP, 4 Disember, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen