LEBIH 20 negara menggesa supaya kapasiti tenaga nuklear dunia ditingkatkan tiga kali ganda pada perbincangan perubahan iklim PBB hari ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mencapai pelepasan sifar karbon menjelang 2050.
Deklarasi yang ditandatangani Amerika Syarikat (AS), Ghana dan Jepun serta beberapa negara Eropah berkata tenaga nuklear memainkan “peranan utama” dalam mencapai matlamat neutraliti karbon.
Penggunaan tenaga nuklear sebagai alternatif yang lebih bersih kepada bahan api fosil menjadi kontroversi apabila kumpulan alam sekitar mengambil berat tentang keselamatan dan pelupusan sisa radioaktif itu.
“Kami tidak membuat hujah kepada sesiapa bahawa ini benar-benar akan menjadi alternatif yang meluas kepada setiap sumber tenaga lain,” kata utusan iklim AS John Kerry pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) di Dubai.
“Tetapi kami tahu kerana fakta sains dan realiti serta bukti menunjukkan kepada kami kita tidak boleh mencapai sifar karbon 2050 tanpa beberapa sumber nuklear,” katanya.
“Ini hanyalah realiti saintifik. Tiada unsur politik terlibat dalam hal ini, tiada ideologi yang terlibat dalam ini.”
Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga nuklear tiga kali ganda menjelang 2050 berbanding paras 2020.
Negara lain yang menandatangani deklarasi itu termasuk Britain, Bulgaria, Kanada, Republik Czech, Finland, Perancis, Hungary, Korea Selatan, Moldova, Mongolia, Maghribi, Belanda, Poland, Romania, Slovakia, Slovenia, Sweden, Ukraine dan Emiriah Arab Bersatu.
“Walaupun kami menghormati pentadbiran Biden yang sedang merancang pelaburan dalam sumber alternatif kepada bahan api fosil, kami tidak mempunyai masa untuk dibazirkan pada gangguan berbahaya seperti tenaga nuklear,” kata Jeff Ordower, pengarah Amerika Utara di kumpulan alam sekitar 350.org. – AFP, 2 Disember, 2023.
Komen