Pengaruh Yahudi dan Zionis


Hishamuddin Rais

Pertemuan Presiden AS, Joe Biden dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini. – Gambar Facebook, 1 Disember, 2023.

PELAKON Marlon Brando (1924-2004) pernah mencetuskan ribut kerana menyatakan Hollywood dikendalikan oleh Bani Yahudi. Brando pemain watak kepala mafia Don Corleone dalam filem Godfather (1972) kecewa dan menangis apabila dia bertemu pemimpin Yahudi untuk memohon maaf atas komennya.

Seminggu sebelum Brando menangis minta maaf, dia muncul dalam stesen CNN Larry King Live.

Dalam program Larry King ini, Brando mengkritik dan marah dengan beberapa pembuat filem Bani Yahudi kerana tidak menunjukkan lebih sensitiviti dalam menggambarkan kumpulan minoriti secara negatif. Tapi tidak menggambarkan Bani Yahudi dengan cara yang sama. (Laporan Agensi Reuters 12 April 1996).

Kerana berkata benar, pelakon tersohor ini menangis teresak-esak minta maaf. Pasal apa minta maaf? Kerana apa minta maaf? Kerana Hollywood didominasi oleh kuasa Bani Yahudi dan Zionis.

Paling terbaru pada 21 November 2023 pelakon tersohor Susan Sarandon pemenang hadiah Oscar  filem Dead Man Walking (1996) dibuang dari menjadi klien agensi bakat UTA. Kerana apa?

Kerana Susan Sarandon mengambil bahagian dan berucap dalam beberapa himpunan pro-Palestin di Amerika sesudah 7 Oktober 2023.

Sarandon ialah aktivis tokoh masyarakat terbaharu yang mendapati diri mereka disekat mata pencarian kerana pendirian mereka terhadap perang, khususnya menyokong Palestin.

Pelakon filem Scream VI Melissa Barrera akan memainkan watak utama dalam Scream VII yang akan difilemkan tidak lama lagi. Tapi Melissa dipecat dari berlakon dalam filem itu. Ini kerana beberapa komen Barrera dalam media sosial ditafsirkan sebagai antisemitik.

Malah makin ramai bintang filem seperti Cake Blanchet, Joaquin Phoenix termasuk wira kaki gasak Jason Statham yang kini secara terbuka menyokong Palestin.

Jason Statham pelakon filem ganas aksi gaduh ini berasal dari Shireebrook UK. Satu petang dia dilihat amat cool memasang dan menayangkan bendera Palestin di bahagian hadapan kereta yang dipandunya di Hollywood.

Apakah mereka ini juga akan disekat dan tidak lagi mendapat peluang berlakon dan cari makan di Hollywood.

Nah! Ini tanda kuasa Bani Yahudi dan Zionis di Hollywood.

Hari ini dunia tidak diberitahu tentang 1,000 buah kapal membawa bantuan kemanusiaan dari Turki menuju ke Gaza. Hari ini berita tentang kapal yang dibajak oleh Yaman hilang dari media dunia. Hari ini kita tidak akan membaca di media arus perdana atau laporan agensi berita tentang serangan ke atas pangkalan askar Amerika di Iraq dan Syria. Dan berapa soldadu Amerika tewas dan gugur.

Naratif berita dunia sentiasa condong ke arah Israel. Sama seperti media condong ke arah Ukraine walaupun soldadu Ukraine hampir pupus. Media arus perdana seperti The New York Times, Washington Post tidak memberi laporan yang sebenar apa yang berlaku di Palestin atau di Ukraine.

Media arus perdana buat cerita Ukraine akan menang dan Rusia akan kalah. Nah! Ini tanda kuasa Bani Yahudi dan Zionis dalam media dunia.

Dalam dunia kaum pemodal – dunia sistem ekonomi kapitalis – Bani Yahudi amat dominan. Dalam perniagaan bank nama seperti Rothschild menonjol. Keluarga Yahudi ini pemilik perniagaan mata wang terbesar dalam dunia. Kepentingan Rothschild ini berselirat di seluruh bank dalam dunia.

Jika modal telah dimiliki oleh Bani Yahudi. Jika media yang menyalurkan kisah dan berita ke seluruh dunia didominasi oleh Bani Yahudi dan Zionis. Jika semua naratif ini secara halus telah dijual melalui wayang dan TV yang condong kepada Yahudi dan Zionis.

Ertinya, wayang, TV, akhbar dan bank semuanya didominasi oleh Bani Yahudi dan Zionis. Justeru apakah dunia kita ini dimiliki oleh Bani Israel dan Zionis.

Apa yang tinggal?

Lalu timbul persoalan hakiki – persoalan yang ditanya oleh mereka yang rasional dan berakal. Kenapa Presiden Biden, Presiden Macron dari Paris, Perdana Menteri Sunak dari London atau Canselor Olaf Scholz dari Berlin, semua bersedia membantu Israel.

Apa minyak guna-guna, apa jampi serapah atau ilmu Bomoh Siam mana yang dipakai oleh Bibi Netanyahu hingga kesemua pemimpin Negara Barat menjadi pro-Israel.

Nasi kangkang apa yang dipakai oleh Netanyahu sehingga semua pemimpin Negara Barat tunduk dan mengikut telunjuk Israel.

Jawabnya: Ini semua kerana politik elektoral. Bukan kuasa jampi serapah atau kena ubat penunduk Tok Batin Melintang.

Bagaimana politik elektoral atau politik undi menjadikan Bani Israel dan Zionis begitu berkuasa.

Sabar dulu.

Sebelum diterangkan biar diberi pencerahan tentang Yahudi, Bani Israel dan Zionisme. Yahudi ini agama seperti Hindu atau Islam. Bani Israel ini warga yang tinggal di Israel. Zionisme ini adalah gerakan politik yang berasaskan agama Yahudi.

Sila fahami bukan semua Yahudi itu penganut fahaman Zionis. Bukan semua Zionis itu Yahudi. Di Malaysia mahu pun di Arab Saudi ada Zionis. Ada pengikut Zionisme yang bukan Yahudi.

Tanda mengenal siapa Zionis cukup mudah: Sokong atau lawan Israel. Sokong atau lawan Palestin.

Yang menyokong Israel semuanya Zionis. Yang menyokong Palestin semuanya anti-Zionis.

Dalam masa yang sama bukan semua Yahudi dan Bani Israel mengikut fahaman Zionis. Pemikir dan intelektual tersohor Noam Chomsky dan Norman Finkelstein adalah dua sosok Yahudi yang anti-Zionis.

Bagaimana Zionisme kini mengawal politik Amerika dan juga politik Eropah. Jawabnya amat mudah: Dana.

Politik elektoral memerlukan dana.

Portal OpenSecret telah melaporkan: Perbelanjaan politik  Trump lawan Biden dalam pilihan raya 2020 berjumlah AS$14.4 bilion, lebih dua kali ganda jumlah kos pilihan raya presiden 2016 yang dulu dianggap memecahkan rekod.

Perlawanan presiden yang mahal antara Joe Biden dan Donald Trump dibiayai oleh jumlah penderma kecil yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam talian dan bilionair yang mempunyai pengaruh politik yang besar.

Siapa bilionair ini? Bilionair ini di Amerika jika tidak bersimpati dengan Israel tidak akan jadi kaya raya.

Dari dana bilionair untuk kempen pilihan raya inilah datangnya pengaruh Zionis. Maka dirujuk kembali kuasa wayang, kuasa media dan kuasa bank. Kali ini ditambah pula dengan kuasa syarikat gergasi pembuat senjata dan pelbagai syarikat yang lain.

Kaum Zionis di Amerika berkumpul di lembaga yang dipanggil AIPAC (American Israeli Public Affairs Committee). Lembaga ini amat-amat berpengaruh di Amerika.

Buka sahaja laman portal AIPAC akan dilihat: AIPAC ialah organisasi kebangsaan dengan lebih tiga juta ahli akar umbi yang ingin mengukuhkan dan mengembangkan hubungan Amerika-Israel.

Semua bakal calon atau calon Presiden akan dijemput untuk membuat ucapan kepada ahli AIPAC. Ucapan ini akan diteliti. Akan ada sesi soal jawab di akhir ucapan.

Sampai mati sampai kiamat tidak akan ada bakal calon presiden atau politikus di Amerika atau dari negara mana pun yang akan bersuara di pentas AIPAC yang berani mengkritik wujudiah Israel.

AIPAC ialah Kaabah untuk semua politikus Amerika. Malah seperti penganut Islam yang akan cuba sedaya upaya untuk ke Mekah menunaikan haji. Begitu juga politikus Amerika akan menyempurnakan rukun iman mereka dengan memberi ucapan di AIPAC.

Tanpa sokongan dari AIPAC tidak ada calon presiden dari Demokrat atau Republikan yang akan berjaya mencari dana.

Para bilionair, tauke kilang, pemilik industri, syarikat senjata tidak akan mengeluar satu sen untuk dana kempen jika AIPAC melarang.

Dana akan masuk meluruh jika AIPAC menyokong politikus yang menjadi calon atau bakal calon presiden atau Kongres.

AIPAC ini bukan saja menilai bakal presiden malah ahli Kongres Amerika pun akan dinilai sama.

Malah jika ada ahli Dewan Kongres yang kritikal terhadap Israel maka AIPAC akan menjalankan jarum untuk memastikan ahli Kongres ini tidak akan dipilih sekali lagi.

Akhbar The Guardian dari London pada 11 November 2023 telah melaporkan bagaimana kumpulan lobi pro-Israel di Amerika menyiarkan iklan serangan terhadap ahli Kongres yang tidak mengundi atau menyokong perang Israel ke atas Gaza.

Dalam tempoh 10 hari, lobi pro-Israel telah melancarkan iklan menentang dan menyerang sesiapa saja yang tidak menyokong Perang Gaza. Yang mahu perang dihentikan. Yang menimbulkan agenda kemanusiaan di Gaza atau mengkritik bantuan ketenteraan kepada Israel atau hanya mengkritik Israel.

Kumpulan itu akan mengepam berpuluh-puluh juta dolar ke dalam dana kempen menyokong calon pro-Israel dalam Kongres.

Ini contoh cara kerja AIPAC.

Akhir-akhir ini telah muncul berita bagaimana kumpulan lobi pro-Israel telah melobi bukan calon tetapi sosok yang namanya baru dicadangkan untuk menjadi calon.

Satu lagi contoh betapa kuatnya kuasa Zionis dalam Kongres Amerika. Pada 27 Jun 2023 telah diluluskan resolusi No 559: Mengisytiharkan adalah menjadi dasar Amerika Syarikat bahawa Republik Islam Iran tidak dibenarkan  memiliki senjata nuklear.

Iran adalah musuh utama Israel di Timur Tengah.

Ini bukti cara Zionis bergerak di Amerika. Melalui dana, melalui media, melalui lobi kaum Zionis memastikan Amerika akan terus memberi AS$3 bilion setahun kepada Israel.

Amerika akan sentiasa memberi senjata terbaharu dan tercanggih kepada Israel. Amerika akan sentiasa menyokong Israel di Bangsa Bangsa Bersatu atau di badan dan lembaga dunia yang lain.

Dalam dunia jumlah Bani Yahudi ialah 15.2 juta. Seramai 7.5 juta di Israel. Yahudi juga ada di Eropah Barat dan Timur. Data statistik tahun 2020, menunjukkan ada 7.6 juta Bani Yahudi di Amerika.

Walaupun dengan jumlah yang kecil tapi dengan dana yang banyak Yahudi dapat mempengaruhi politik Amerika. Yahudi mempengaruhi politik Eropah. Yahudi mempengaruhi politik Arab.

Dari 8 bilion warga dunia, Yahudi hanya ada 0.2%. Tetapi dengan jumlah yang kecil Bani Yahudi pada ketika ini sedang menghuru-harakan dunia.

Bagaimana pula pengaruh Yahudi di Eropah. Kita buka minggu hadapan. – 1 Disember, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen