Pelajar Aswara ditolak bantuan pendidikan Terengganu terima Anugerah Emas Rektor


Diyana Ibrahim

Tengku Nur Sajidah Tengku Khairi dihadiahkan Anugerah Emas Rektor sebagai pelajar terbaik keseluruhan pada Konvokesyen Aswara ke-18, Ahad lalu. – Gambar ihsan Aswara, 29 November, 2023.

TIGA tahun lalu permohonannya untuk mendapatkan bantuan pendidikan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) ditolak namun Tengku Nur Sajidah Tengku Khairi tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pada hujung minggu lalu, anak kelahiran Gong Badak itu bukan sahaja mendapat ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang filem dan televisyen, beliau juga dihadiahkan Anugerah Emas Rektor sebagai pelajar terbaik keseluruhan pada Konvokesyen Aswara ke-18, Ahad lalu.

Anugerah Emas Rektor diberikan kepada pelajar yang antara lain mendapat himpunan purata nilai gred (CGPA) 3.50 pada setiap semester, tidak pernah mengulang mana-mana kursus dan tidak pernah dikenakan tindakan disiplin.

Anugerah tertinggi itu juga diberikan kepada pelajar yang aktif dalam aktiviti fakulti selain mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya reda saja. Saya teruskan apa yang saya minat,” katanya kepada The Malaysian Insight, mengimbau episod tiga tahun lalu.

Nur Sajidah, 24, menganggap episod tersebut cabaran biasa seorang pelajar dan tidak mahu ia mengganggu cita-citanya mencari ilmu dalam bidang perfileman. 

Anak kedua daripada empat adik beradik itu meneruskan juga minatnya belajar filem dengan wang simpanan sendiri untuk membiayai yuran pengajian, ditokok sokongan dan bantuan kewangan daripada ibu bapa.

Ayahnya seorang perunding perniagaan sementara ibunya guru sekolah agama.

“Selagi saya minat dengan apa yang saya buat, tak ada sebab untuk saya putus asa.

“Tak ada sebab untuk saya berhenti tengah jalan walaupun saya tak dapat sokongan biasiswa Terengganu atau mana-mana perbadanan pun,” tambahnya.

Pihak berkuasa agama Terengganu menolak permohonan Nur Sajidah untuk bantuan awal pelajaran di Aswara dengan alasan bidang pengajiannya “menjurus kepada hiburan dan melalaikan”.

Nur Sajidah meluahkan kekecewaannya pada masa itu di Twitter (sekarang X) pada 1 Oktober 2022 dan jadi tular ketika itu.

Tiga tahun selepas episod itu, Nur Sajidah mengaku beliau terkilan apabila permohonannya ditolak dengan alasan bidang pengajiannya itu hiburan yang melalaikan.

“Semasa buat permohonan saya baca semua syarat kelayakan. Kalau ikutkan syarat kelayakan umum saya boleh lepas.

“Cuma saya terlepas satu syarat iaitu kursus khusus untuk teori sahaja seperti kedoktoran dan kejuruteraan.

“Saya tak nampak ada syarat yang tidak boleh bidang pengajian seni,” katanya.

Nur Sajidah juga berkata beliau tidak faham kena ada syarat yang berbeza mengikut bidang pengajian.

“Apa perbezaan pengajian lain dengan pengajian seni, padahal semua sama… pelajar memohon untuk belajar cari ilmu walaupun bidang seni,” katanya.

Memandang ke hadapan, Nur Sajidah berharap kerajaan Terengganu yang ditadbir oleh PAS dapat mengubah sikap melihat seni sebagai hiburan yang melalaikan.

Beliau percaya ramai anak muda di Terengganu ada minat dalam bidang seni termasuk perfileman dan mereka perlu diberi pendedahan dan sokongan.

“Kalau ada sokongan atau sedikit pendedahan daripada perbadanan yang terlibat dan berkepentingan dalam bidang itu mungkin boleh membantu sikit bagi meluaskan fikiran anak muda Terengganu ke arah seni,” katanya.

Ditanya pesanannya kepada anak muda yang mungkin berhadapan keadaan yang sama dengannya, Nur Sajidah berharap mereka tekad berusaha untuk mencapai apa yang mereka minat.

“Bidang filem dan seni, atau teater, sebenarnya bukan benda yang pelik. Cuma di Malaysia ia mungkin agak kurang diterokai apatah lagi di Terengganu.

“Tetapi kalau kita buat kerana minat dan untuk belajar, teruskan sahaja.

“Jangan fikir tohmahan orang. Biar orang cakap melalaikan tapi kita tahu apa yang kita belajar itu tidak melalaikan,” katanya. – 30 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen