Ringgit dijangka mengukuh pada 2024, kata Rafizi


Kata Rafizi, prestasi ringgit perlu dilihat dalam perspektif yang lebih meluas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2023.

RINGGIT dijangka akan mengukuh pada 2024 yang dipacu oleh beberapa faktor, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata faktor itu termasuklah disiplin fiskal kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik serta ketidaktentuan dasar mata wang Amerika Syarikat (AS) yang semakin mereda.

Katanya, prestasi ringgit perlu dilihat dalam perspektif yang lebih meluas dan ia wajar diukur berbanding mata wang lain dan bukannya berbanding dolar AS semata-mata. 

“Malah, inilah caranya bank-bank pusat di seluruh dunia mengukur nilai mata wang mereka iaitu perbandingan dengan sekumpulan mata wang utama lain yang berdagang dengan negara itu.

“Majoriti mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS akibat daripada tindakan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar faedah,” katanya dalam hantaran media sosial di platform ‘X’, hari ini.

Rafizi berkata nilai mata wang perlu dibaca dengan petunjuk ekonomi lain iaitu pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, jumlah pelaburan baharu, kadar faedah, kadar pengangguran, tangga gaji dan lain-lain.

Katanya ekonomi Malaysia tumbuh pada momentum yang baik dari suku ke suku selama tiga suku berturut-turut dengan kadar inflasi adalah terendah sejak 2021.

Bagi prestasi ringgit pada suku ketiga 2023, ringgit menyusut sebanyak 0.6% berbanding dolar AS dan menurun 0.2% berbanding dolar Singapura.

Bagaimanapun, prestasi ringgit mengukuh sebanyak 2.9% berbanding yen Jepun, lebih baik sebanyak 2.4% berbanding baht Thailand dan pound Britain, rupiah Indonesia (2.0%), won Korea Selatan (1.7%), euro (1.6%), dolar Australia (14%) dan renmimbi China (0.2%).  – Bernama, 29 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen