Kerajaan Mesir jual kepentingan dalam syarikat kepada sektor swasta 


Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly berkata kerajaan setakat ini menandatangani kontrak bernilai AS$1.9 bilion dengan sektor swasta untuk menjual kepentingan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan. – Gambar AFP, 12 Julai 2023.

PERDANA Menteri Mesir Mostafa Madbouly semalam berkata kerajaan setakat ini menandatangani kontrak bernilai AS$1.9 bilion dengan sektor swasta untuk menjual kepentingan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan, lapor Xinhua.

Kerajaan juga akan mengumumkan satu lagi urus niaga bernilai AS$1 bilion, kata Madbouly semasa sidang media di Ibu Kota Pentadbiran Baru Mesir di luar Kaherah.

Penjualan entiti milik kerajaan itu adalah sebahagian daripada program yang dilancarkan oleh kerajaan pada Januari.

Madbouly berkata kebanyakan syarikat itu dijual kepada sektor swasta dalam usaha untuk meningkatkan pembangunan sektor swasta negara.

Beliau turut menafikan kaitan langkah itu mempunyai kaitan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau mana-mana institusi antarabangsa lain.

Pada Disember tahun lalu IMF meluluskan pinjaman kepada Mesir berjumlah kira-kira AS$3 bilion dalam tempoh 46 bulan untuk menyokong program pembaharuan ekonomi negara itu dengan harapan ia akan membuka jalan kepada “pertumbuhan yang mampan, inklusif dan diterajui sektor swasta.”

Sementara itu kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan eksport komoditi sebanyak 20 peratus setiap tahun, hasil pelancongan sebanyak 20 peratus setiap tahun dan pelaburan langsung asing sebanyak 10 peratus setiap tahun dalam tempoh tiga tahun, katanya.

Pound Mesir kehilangan separuh nilainya berbanding dolar sejak Mac 2022. 

Penurunan nilai mata wang menyebabkan kekurangan mata wang asing dan kelewatan dalam penghantaran import.

Krisis ekonomi negara itu diburukkan lagi oleh konflik Rusia-Ukraine yang berterusan hingga menjejaskan kestabilan rantaian bekalan makanan global. – Bernama, 12 Julai 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen