Argentina, China setuju tukar mata wang


Presiden Argentina Alberto Fernandez berjabat tangan dengan rakan sejawatnya dari China Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Bali, Indonesia semalam. – Gambar AFP, 16 November, 2022.

ARGENTINA dan China mengumumkan pertukaran mata wang berjumlah AS$5 bilion di luar Sidang Kemuncak G20, lapor Agensi Anadolu menurut kenyataan pejabat presiden Argentina.

Presiden Alberto Fernandez menerusi Twitter berkata: “mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping”. 

“Kami berkongsi keyakinan untuk membina dunia lebih adil dan pembangunan merangkumi semua orang,” kata beliau.  

Argentina berusaha untuk melakukan pertukaran mata wang sejak beberapa bulan lalu dan menyifatkan kerjasama itu sebagai berita baik, kata Fernandez.

Menurut satu kenyataan, Menteri Ekonomi Sergio Massa mengumumkan bahawa AS$5 bilion akan membantu mengukuhkan Bank Pusat Argentina dan mata wang negara itu.

Pertemuan di Bali, Indonesia itu sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik yang terjalin antara Buenos Aries dan Beijing yang disifatkan sebagai “Tahun Persahabatan dan Kerjasama antara Argentina dan China.”

Argentina mengumumkan pertukaran mata wang dengan China sebanyak AS$3 bilion pada Februari selepas Fernandez melawat China dan Argentina menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang bernilai berbilion dolar. – Bernama, 16 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen