Jumlah pengunjung tinggi, namun jualan rendah, kata peniaga


Noel Achariam

Jumlah pengunjung ke pusat membeli-belah tidak berkurangan sejak dibuka semula pada awal 2022 namun jualan kurang memberangsangkan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2023.

PENINGKATAN kos sara hidup menyebabkan pengguna Malaysia kurang berbelanja untuk barangan dan perkhidmatan runcit, menjejaskan hasil peniaga, kata Retail Group Malaysia.

Pengarah Urusannya Tan Hai Hsin berkata ini terbukti kerana pengguna kurang makan di luar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Kos yang lebih tinggi daripada pembekal serta kos buruh yang semakin meningkat menyebabkan penurunan margin keuntungan bagi peruncit.

“Selain itu, beberapa bulan kebelakangan ini dianggap sebagai musim sepi bagi kebanyakan peruncit sebelum sebarang perayaan besar dan cuti sekolah,” katanya.

Tan bagaimanapun berkata, secara amnya jumlah pengunjung ke pusat membeli-belah tidak berkurangan sejak dibuka semula pada awal 2022.

“Trafik membeli-belah kembali ke tahap 2019. Ini di seluruh negara, bukan hanya di Lembah Klang.

“Cuti hujung minggu Deepavali baru-baru ini membawa kepada trafik membeli-belah yang tinggi di kawasan pelancongan dan bandar-bandar kecil.”

Menurut laporan Industri Runcit Malaysia (MRI) 2023, bagi suku kedua tahun ini, industri runcit Malaysia mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih buruk daripada jangkaan sebanyak -4.0% dalam jualan runcit, berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Katanya keputusan suku tahunan terbaru ini adalah jauh di bawah jangkaan pasaran kerana pada Jun 2023, ahli Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) menganggarkan kadar pertumbuhan purata 2.6% untuk suku kedua 2023.

MRI juga berkata ramai ahli dua persatuan peruncit konservatif terhadap prospek perniagaan mereka sehingga akhir tahun.

Mereka menganggarkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 1.4% pada suku terakhir 2023.

Bagi perayaan Krismas dan Tahun Baru yang akan datang, Tan berkata trafik membeli-belah akan sama dengan 2022.

“Pengguna Malaysia akan tetap berbelanja. Bagaimanapun, jualan hari raya tidak akan sama seperti sebelum Covid 19 berikutan cuti sekolah yang dipendekkan.

“Untuk tahun ini, cuti sekolah hanya selama dua minggu. Oleh itu, perbelanjaan oleh keluarga yang mempunyai anak kecil dalam tempoh ini tidak akan sama seperti sebelum Covid 19.”

Mengenai penutupan perniagaan peruncit, beliau berkata penutupan kedai di pusat membeli-belah tidak begitu ketara pada 2023.

“Secara amnya, mungkin terdapat lebih banyak pembukaan kedai baharu daripada penutupan kedai.”

Beliau juga berkata perniagaan runcit di pusat beli-belah adalah sama seperti pada separuh pertama tahun ini.

“Kafe dan restoran adalah pemacu pusat beli-belah, terutamanya untuk konsep F&B baharu yang diwujudkan di dalam negara dan kedai F&B baharu dari luar negara.

“Kami juga telah menyaksikan banyak peruncit dalam talian menubuhkan kedai fizikal selepas pandemik Covid-19.” – 28 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen