Tentera Israel bunuh 6 orang rakyat Palestin di Tebing Barat


Pasukan perubatan membawa seorang lelaki Palestin yang cedera semasa pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel di Tebing Barat. – Gambar AFP, 26 November, 2023.

TENTERA Israel membunuh enam rakyat Palestin di Tebing Barat semalam, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Seorang doktor berusia 25 tahun terbunuh awal pagi di luar rumahnya di Qabatiya, dekat Jenin, kubu kuat kumpulan bersenjata Palestin di utara wilayah itu, kata kementerian itu.

Seorang lagi rakyat Palestin terbunuh di el-Bireh berhampiran Ramallah.

Empat orang juga terbunuh dalam tembakan tentera Israel di Jenin semasa pencerobohan oleh sejumlah besar kenderaan berperisai di bandar itu yang baru-baru ini menjadi lokasi serbuan paling maut Israel di Tebing Barat dalam hampir 20 tahun.

Saksi memberitahu AFP semalam bahawa tentera Israel mengelilingi hospital awam Jenin dan klinik Ibn Sina selain turut mencari ambulans.

Mereka juga melaporkan pertempuran hebat dengan senjata automatik.

Tebing Barat menyaksikan peningkatan keganasan sejak serangan rentas sempadan 7 Oktober ke atas Israel oleh Hamas bulan lalu.

Israel sejak itu bertindak balas dengan pengeboman dan kempen darat di Gaza membunuh hampir 15,000 orang yang kebanyakannya orang awam, menurut kerajaan Hamas.

Sementara itu kira-kira 230 rakyat Palestin di Tebing Barat dibunuh oleh peneroka dan tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin. – AFP, 26 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen