Angka kematian di Tebing Barat meningkat kepada 13


Tentera penjajah Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dari kem Nur Shams di Tulkarem. – Gambar AFP, 20 Oktober, 2023.

ANGKA kematian akibat serbuan oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki meningkat kepada 13 orang, kata pegawai kesihatan Palestin pada Jumaat.

Sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin telah dibunuh oleh tentera atau penjajah Israel di Tebing Barat sejak konflik Gaza meletus pada 7 Oktober, menurut angka dari kementerian kesihatan Palestin di Ramallah.

Seorang anggota pasukan keselamatan Israel juga telah terbunuh di wilayah itu.

“Tentera penjajah Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai dari kem Nur Shams di Tulkarem semasa serangannya semalam, dengan jumlah kematian mencecah 13, antaranya lima kanak-kanak,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Pada Khamis, tentera Israel berkata ia melakukan serangan udara yang membunuh “sebilangan pengganas” di Nur Shams.

“Berbalas tembakan dengan lelaki bersenjata, termasuk bahan letupan yang dilemparkan ke arah pasukan keselamatan Israel, berlaku,” kata satu kenyataan tentera.

Dalam pertempuran berasingan awal Khamis, kementerian kesihatan Palestin berkata tentera Israel menembak mati remaja berusia 17 tahun di kem pelarian Dheisheh, dekat Bethlehem, dan seorang berusia 32 tahun di Budrus di barat Ramallah.

Israel telah menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967 dan tenteranya kerap melakukan pencerobohan ke pekan dan bandar Palestin.

Tentera telah melancarkan kempen penangkapan menyeluruh sejak 7 Oktober, menahan ratusan orang termasuk anggota kumpulan Hamas.

Rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat telah mengadakan perhimpunan sebagai solidariti dengan 2.4 juta penduduk Gaza.

Di Gaza, lebih 3,700 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, telah terbunuh dalam pengeboman tanpa henti Israel, menurut kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di kawasan pantai. – AFP, 20 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen