Nasib Muhyiddin Yassin selepas ini ke mana?


KEJUTAN kepada semua ahli Bersatu semalam kenyataan Muhyiddin Yassin pada persidangan Bersatu beliau akan melepaskan jawatan presiden parti kepada yang lebih layak dan pemimpin yang mempunyai kredibiliti kepimpinan yang lebih baik. Persoalan yang semakin difikirkan oleh semua rakyat, hala tuju parti Bersatu ini akan ke mana ekoran daripada desas-desus empat orang anggota Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan hasrat untuk menyokong perdana menteri.

Apa yang menarik di sini ialah berkaitan dengan angka kerana Presiden Muhyiddin Yassin mempunyai jumlah sokongan sebanyak 26 sahaja berbanding sebelum ini hanya 30 manakala yang menguasai PN sekarang adalah PAS dengan majoriti 43 ahli Parlimen. Ini yang menyebabkan Bersatu kuat disebabkan sokongan PAS .

Oleh itu, 4 orang ahli Parlimen yang terdiri daripada Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnaian Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang). Kesemua empat orang memberikan isyarat akan menyokong perdana menteri dan ini memberikan satu bentuk ‘wake up call’ kepada Bersatu untuk lihat perkara yang perlu dilakukan dengan kadar segera untuk kukuhkan kedudukan mereka sebagai parti pembangkang.

Apa yang sedang berlaku dalam kalangan ahli Bersatu perlu diberikan perhatian yang cukup serius oleh jentera parti Bersatu dengan kadar segera supaya tidak berlaku ‘kerosakan’ yang lebih mendalam dan hilang terus kepercayaan rakyat terhadap parti politik tersebut. Bersatu sedang mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan bagi parti tersebut yang dijangkakan akan bermula hari ini sehingga Sabtu malah ini perlu menjadi satu langkah pragmatik kepada parti tersebut untuk melihat kembali apa yang berlaku, apa yang dapat dilakukan dan apa yang akan berlaku supaya tiga indikator ini boleh menjalin antara satu sama lain.

Apakah sebenarnya menyebabkan keadaan ini berlaku kita perlu melihat kembali beberapa perkara kerana segelintir ahli di Bersatu merupakan bekas Umno dan susulan penyusunan pengambilan ahli parti tersebut tidak dilihat dengan lebih spesifik sebelum diambil dan ini memberikan laluan kepada beberapa anggota untuk membawa haluan mereka untuk menyokong Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

Ini perlu jelas kerana sewaktu pembentukan kerajaan perpaduan PN diberikan laluan untuk bersama dengan perdana menteri namun ditolak oleh PN sendiri maka bersetuju untuk terus menjadi pembangkang selepas pasca PRU-15. Diletakkan di bahagian pembangkang sepatutnya PN perlu mengorak langkah yang lebih strategik, diplomatik dan tersusun untuk terus mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti politik tersebut. Bersatu juga masih memberikan keraguan yang sangat besar dan membawa ‘gap’ yang agak besar dalam masyarakat bukan Melayu di negara ini. Persoalan yang sebegini perlu dilihat dan difikirkan dengan lebih serius lagi untuk memastikan sokongan bukan Melayu terhadap parti ini.

Kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai bekas presiden parti politik tersebut perlu selaras dengan perjuangan parti politik dan juga desas-desus menyatakan kemungkinan besar presiden akan digantikan dengan Hamzah Zainudin pada persidangan tahun hadapan. Elemen yang sedia ada perlu diperbetulkan dengan kadar yang segera dan persoalan mengenai jawatan dan juga sebagainya akan menjadi pokok utama dalam persidangan kali ini.

Penyusunan strategik kepimpinan dalam parti perlu disegerakan dan bersihkan mana yang patut dan susun atur dengan lebih cekap dan sistematik lagi supaya tidak membawa jurang yang jauh antara ahli dalam parti tersebut malah jika perkara ini tidak dibuat dengan segera membawa kepada hilang arah perjuangannya.

Sejurus dengan pelepasan jawatan presiden semalam, persoalan yang cukup luas timbul adakah ini disebabkan masalah dalaman parti tersebut sehingga tidak mampu untuk menyelesaikan ataupun ini membuka nafas baharu ‘new breath’ kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti tersebut untuk membawa corak pentadbiran yang lebih baharu kepada parti tersebut.

* Sharmin Kutty Sivaraman, pemerhati dan penganalisis politik Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen