Perang Gaza sedang merebak


Hishamuddin Rais

Penduduk Palestin bertempur dengan pasukan keselamatan Israel dalam serangan di kem Balata di Tebing Barat. – Gambar AFP, 24 November, 2023.

PERANG Gaza bermula 8 Oktober 2023 sudah masuk hari ke-48. Hakikatnya Hamas telah menang. Bukan menang tempur tapi menang perang maklumat.

Hamas telah berjaya membuka kembali agenda Palestin yang dibenamkan selama ini. Seluruh dunia kini menjadikan Palestin isu perbualan.

Untuk pertama kalinya dunia kini melihat apa itu Zionis dan apa itu Israel.

Naratif Israel sebagai penjajah dan Palestin sedang dijajah sudah diterima oleh masyarakat dunia.
 
Generasi muda yang dulunya tidak begitu sedar tentang perjuangan rakyat Palestin kini telah menerima kuliah Hamas melalui media sosial.

Paling ampuh ialah sokongan kumpulan Yahudi tua dan muda. Yahudi agamawan, sekular, liberal dan kiri kini menyokong perjuangan Palestin.

Kumpulan Yahudi ini secara terbuka menentang Zionis. Mereka tidak mahu identiti Yahudi mereka digunakan oleh kaum Zionis untuk menjajah Palestin.

Paling menonjol ialah penerimaan masyarakat dunia bahawa Israel sedang menjalankan dasar genosid terhadap Arab Palestin.

Zionis Israel kini dituduh sedang menjalankan dasar pembunuhan beramai-ramai dan berusaha membantai bersih Arab Palestin.

Banyak negara yang dahulunya tidak ambil pot terhadap Palestin kini terbuka mata.

Ada negara membuat dasar baharu terhadap Israel kerana ombak rakyat mereka yang keluar ke jalan raya menyokong Palestin. Amin.

Justeru Bolivia dan Belize memutuskan hubungan diplomatik. Manakala Bahrain, Chad, Chile, Colombia, Honduras, Jordan, Turki dan Afrika Selatan memanggil duta pulang.

Memanggil duta pulang dalam bahasa tidak diplomatik sama seperti berkata: Pergi jahanam lah lu.

Ini belum pernah terjadi dalam diplomasi geo-politik antarabangsa.

Ketika tulisan ini digarap, kabinet Benjamin Netanyahu baru sahaja bersetuju untuk membuat gencatan senjata.

Al-Jazeera melaporkan – selama enam jam kabinet Netanyahu berbincang akhirnya bersetuju untuk berhenti menyerang Gaza selama empat hari. Dalam masa empat hari ini bantuan untuk warga akan  dibenarkan masuk ke Gaza.

Gencatan senjata empat hari ini bermula pada Khamis 23 November 2023 waktu tempatan.

Netanyahu tidak mengeluarkan perincian tentang apa yang telah dipersetujui. Dia hanya menyatakan satelah empat hari serangan terhadap Hamas akan diteruskan.

Dunia hanya mengetahui dari kenyataan Hamas di Qatar.

Perundingan sulit telah berjalan lama. Qatar menjadi orang tengah. Presiden Amerika Syarikat Joe Biden juga telah memainkan peranan.

Hamas telah mengumumkan perkara yang telah dipersetujui:
1 - Empat hari gencatan senjata
2 - Pengeboman di hentikan
3 - Hamas membebaskan 50 tawanan terdiri dari kanak-kanak dan wanita
4 - Israel membebaskan 150 wanita dan kanak-kanak dari penjara Israel              
5 - Bantuan kemanusiaan di benar masuk
6 - Gerila Hamas tidak akan diserang ketika membantu
7 - Bantuan kemanusiaan dibenar masuk.

Stesen Al-Jazeera telah melaporkan bagaimana Presiden Biden telah menelefn Emir Qatar dan juga Netanyahu. Presiden Biden mahu gencatan senjata ini berlaku.

Ini untuk memperbaiki imej Biden yang memasang niat untuk bertanding sekali lagi tahun hadapan.

Ombak pro-Palestin di Amerika dan di kalangan Yahudi Amerika sedang mengampuh. Ini bahaya untuk Biden. Palestin ini boleh menjadi agenda kempen pengundian presiden 2024.

Dalam masa yang sama ketika perundingan ini sedang berjalan askar  Yaman telah membajak Galaxy Leader sebuah kapal pengangkutan di Laut Merah.

Kapal dengan 25 orang anak kapal dalam perjalanan dari Turki ke India.

Kapal milik bilionair Israel ini dikendalikan oleh syarikat NYK Jepun. Tidak ada warga Israel menjadi anak kapal.

Pembajakan kapal ini bukan satu yang baru yang dilakukan oleh Yaman. Gerila Houthi dari Yaman telah menghantar dron ke Israel.

Yaman telah menghantar dron ke kapal Amerika yang berlabuh di Laut Tengah.

Apa yang jelas sekarang ialah perang Gaza ini sedang merebak dan meluas. Satu demi satu pentas perang dibuka.

Politik dan fahaman ideologi Zionis ini berasaskan Eretz Israel atau Israel Raya. Konsep Eretz Israel ini lahir dari Kitab Zabur yang diturunkan kepada Nabi Daud.

Israel Raya ini mencakupi semua bumi Palestin termasuk Lubnan, Syria hingga ke Iraq.

Justeru hari ini kita lihat perlawanan menentang Zionis ini datang dari Lubnan, dari Syria, dari Iraq dan juga dari Iran.

Selepas 7 Oktober, di Iraq kumpulan yang dikenali sebagai Kata’ib Hezbollah telah berkali-kali menyerang dan meroket khemah dan pangkalan soldadu Amerika di Iraq.

Setiausaha Agung Kata’ib Hezbollah Abu Husen al-Hamidawi telah menghantar pasukan gerilanya ke sempadan Jordan.

Abu Hussein al-Hamidawi, berkata, “Kami berada di sini untuk mempertahankan rakyat kami di Gaza, wilayah yang diduduki dan mereka yang terdedah.

Peluru berpandu, dron dan pasukan khas kami berada di tempat yang tinggi. berjaga-jaga…” (Petikan dari portal The New Arab 11 Oktober 2023 ).

Manakala di Lubnan pasukan Hezbollah yang paling tersusun dan paling lengkap dengan senjata moden telah siap siaga menunggu arahan untuk masuk ke Utara Israel.

Dalam ucapan pada Oktober 2021, pemimpin Hezbollah Hassan Nasrallah mendakwa organisasinya mempunyai 100,000 pejuang terlatih, 25,000 pejuang sepenuh masa dan kira-kira 20,000 hingga 30,000 pasukan simpanan.

Al-Jazeera telah melaporkan pada 3 November 2023 kenyataan Nasrallah yang berkata bahawa Hezbollah memasuki “perang” sehari selepas serangan Hamas 7 Oktober berlaku.

“Ada yang mendakwa kami akan terlibat dalam peperangan. Saya memberitahu anda, kami telah terlibat dalam pertempuran ini sejak 8 Oktober,” kata Nasrallah.

“Penentangan Islam di Lubnan mula beroperasi keesokan harinya.”

Dalam masa yang sama kerajaan Iran secara terbuka adalah penyokong kuat Hamas. Iran mempersenjatai Hamas, memberi dana dan membantu sokongan logistik kepada Hamas.

Israel memusuhi Iran semenjak jatuhnya kerajaan Shah Reza Pahlavi pada tahun 1979. Kerajaan Shah Reza adalah kawan baik Zionis Israel. Babak ini telah menjadi sejarah.

Setia kawan dan sokongan Iran ini diikat pula dengan ajaran Islam. Parti Hamas dari mazhab Sunni kini dibantu oleh kerajaan Iran dari mazhab Syiah.

Perang Gaza ini memperlihatkan solidariti dan ikatan yang amat kuat antara Sunni dan Syiah. Islam dilihat bersatu menentang Zionis.

Laporan juga menyatakan bahawa hampir 8,000 anggota Pasukan Pengawal Revolusi Iran telah dihantar ke Lubnan. Ini adalah pasukan soldadu elit Iran.

Jelas Zionis Israel kini diasak dari tiga penjuru. Dari dalam Gaza gerila Hamas menyerang. Di Utara Israel gerila Hezbollah menyerang. Dari selatan soldadu dari Yaman pula menyerang.

Keadaan militer seperti ini menakutkan Amerika. Biden tidak mahu perang Gaza ini melimpah hingga menjadi Perang Timur Tengah.

Justeru Amerika telah menghantar dua buah kapal perang ke Laut Tengah berhadapan dengan Gaza dan Lubnan

Dari segi ajaran kitab klasik perang gerila, dua kapal perang Amerika ini hanya harimau kertas.

Kapal ini dibawa untuk menakutkan Hezbollah, untuk menakutkan Yaman agar jangan buat lebih-lebih.

Manakala negara Arab seperti Jordan dan Saudi Arabia telah masuk ke dalam poket Amerika.

Begitu juga Mesir di bawah al-Sisi tidak berani bangun berdiri sebagai Arab dan mempertahankan Palestin.

Geo-politik ini tidak menggerunkan Hamas.

Lihat apa yang terus berlaku di Gaza sekarang. Tanpa Mesir, tanpa Jordan dan tanpa Saudi gerila Palestin di Gaza dan Tebing Barat terus melawan.

Dari segi taktik perang gerila soldadu Israel sedang menjadi sasaran gurban – gerila bandar.

Ratusan kereta kebal dan kereta perisai Zionis Israel menjadi mangsa RPG Al-Qassam.

Diberitakan juga  ratusan soldadu Zionis telah tewas. Dilaporkan lebih dari 11,000 soldadu Zionis cedera.

Dalam perang angka tewas dan angka cedera disimpan sebagai rahsia. Dalam perang yang pertama mati kena bunuh ialah kebenaran.

Justeru hingga ke hari ini kita tidak tahu dengan sahih jumlah soldadu dan gerila yang tewas.

Tapi apa yang jelas apabila Netanyahu bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata bermakna Zionis Israel telah letih.

Awalnya Netanyahu dengan angkuh berkata bahawa Hamas akan di tumpaskan secepat mungkin. Kini Hamas masih lagi bergerila cergas.

Tarikh 7 Oktober 2023 adalah tarikh keramat. Tarikh ini telah mengubah geo-politik dunia.

Sebelum 7 Oktober muka depan akhbar dan media ialah Ukraine dan Zelensky.

Kini Ukraine dan Zelensky telah menjadi mangsa Hamas. Perang Ukraine yang menjadi hati jantung Amerika, NATO dan Eropah kini terbarai.

Ukraine dan Zelensky telah ditinggalkan. Amin.

Projek melemahkan Rusia dan menjatuhkan Vladimir Putin telah gagal meleset. Rusia tidak berganjak dari dasar menolak Ukraine dari menjadi ahli NATO.

Ekonomi Rusia masih kukuh. Nilai Rubel masih tinggi walaupun ada sekatan ekonomi.

Berbilion bantuan senjata dan dana dari Amerika dan Eropah kini hangus. Hakikatnya Ukraine telah kalah. Rusia sedang menang.

Kini Amerika, NATO dan Eropah beralih dari Ukraine ke Israel. Perang di Gaza ini jika berpanjangan pasti akan mengubah landskap geo-politik dunia.

Amerika, NATO dan Eropah yang parah dalam Perang Ukraine akan dibantai sekali lagi oleh Hamas, Hezbollah dan Iran.

Hegemoni kuasa imperialis Amerika akan runtuh. Kuasa dolar Amerika akan terbarai. Sistem ekonomi kapitalis akan jadi huru-hara.

Apakah elit politik di Amerika dan di Eropah tidak sedar tentang perkara ini.

Apakah mereka terlalu bebal politik hingga gagal melihat realiti yang sedang berlaku.  

Pelik tetapi benar – dalam keadaan geo-politik sekarang – kenapa elit politik dan elit ekonomi Amerika dan Eropah terus membantu Zionis Israel? Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. Amin. – 24 November, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen