KEMENTERIAN Sumber Manusia tidak menerima sebarang aduan mengenai pengusaha restoran memecat kakitangannya kerana memakai salib di tempat kerja, menurut menterinya V Sivakumar.
“Sekiranya kami menerima sebarang aduan, kami akan menyiasat isu itu, dan tindakan sewajarnya mungkin diambil. Buat masa ini, tiada maklumat daripada jabatan buruh mengenai perkara ini,” katanya selepas satu majlis di Shah Alam.
Ahad lalu, sebuah restoran Cina Muslim di Kuala Lumpur mendapat kecaman pengguna media sosial kerana memberhentikan pekerjanya selepas tular video yang memaparkan seorang kakitangan bersongkok memakai rantai dengan salib.
Bercakap di Parlimen pada Selasa, bekas menteri sumber manusia M Kulasegaran berkata tindakan mesti diambil terhadap pihak pengurusan restoran itu.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata terdapat peruntukan dalam Akta Pekerjaan bagi menangani pemecatan sedemikian.
“Adakah kerajaan sudah mengambil tindakan terhadap perkara ini? Sebab seingat saya, ada peruntukan khusus dalam Akta Pekerjaan untuk kerajaan bertindak.”
“Kerajaan perlu mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya
Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yi, menyifatkan pemecatan itu sebagai “sangat diskriminasi, bertentangan dengan undang-undang, dan satu cabaran kepada kebebasan beragama di negara ini”.
Menurut Yii, tiada asas undang-undang menghalang orang bukan Islam daripada menyediakan makanan halal apabila semua syarat ketat dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Restoran itu sepatutnya hanya mengeluarkan kenyataan memberi jaminan kepada orang ramai yang semua garis panduan penyediaan makanan halal dipatuhi dengan ketat.
“Tidak perlu memecat seorang pekerja jujur yang hanya menggunakan haknya untuk menunjukkan kepercayaannya,” katanya. – 23 November, 2023.
Komen