TINDAKAN perlu diambil terhadap pengurusan sebuah restoran yang telah memberhentikan pekerja kerana memakai salib, kata M Kulasegaran.
Bekas menteri sumber manusia itu berkata terdapat peruntukan dalam Akta Pekerjaan untuk menangani pemecatan sedemikian.
“Apakah tindakan diambil oleh kerajaan ke atas perkara ini? Sebab seingat saya, ada peruntukan khusus dalam Akta Pekerjaan untuk (kerajaan) ambil tindakan atau tidak,”
“Sekiranya kerajaan masih belum mengambil tindakan, ia patut diambil,” katanya.
Ipoh Barat berkata demikian semasa membahaskan peruntukan Bajet 2024 untuk Kementerian Sumber Manusia di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Kulasegaran berkata jika tiada apa yang dilakukan ia boleh membawa kepada isu agama dan perkauman yang lebih besar.
“Jika tiada tindakan segera diambil, bagaimana pula jika pekerja memakai abu putih di dahi.
“Itu boleh dilihat sebagai isu yang berpotensi untuk majikan, bolehkah itu ditamatkan untuk itu? Apakah pendirian kerajaan mengenai perkara ini,” soalnya sambil merujuk kepada abu suci yang dipakai oleh penganut Hindu di dahi mereka sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan.
“Bukan itu sahaja. Mungkin satu hari nanti pekerja tidak akan dibenarkan memakai pakaian budaya mereka seperti saree,” katanya.
Ahad lalu, sebuah restoran Cina Muslim di Kuala Lumpur mendapat kecaman daripada pengguna media sosial kerana memberhentikan pekerjanya selepas tular video yang menggambarkan seorang kakitangan bersongkok dilihat memakai rantai salib.
Rakan sejawat Kula dari DAP Kuching Dr Kelvin Yi, menyifatkan pemecatan itu sebagai ‘diskriminasi, bertentangan dengan undang-undang, dan satu cabaran kepada kebebasan beragama di negara ini’.
Menurut Dr Yii, tiada asas undang-undang untuk menghalang orang bukan Islam daripada menyediakan makanan halal apabila semua syarat ketat dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.
“Restoran sepatutnya hanya mengeluarkan kenyataan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua garis panduan penyediaan makanan halal dipatuhi dengan ketat.
“Tidak perlu memecat seorang pekerja jujur yang hanya menggunakan haknya untuk menyatakan kepercayaannya,” kata ahli parlimen itu dalam satu kenyataan hari ini. – 21 November, 2023.
Komen