Masih lambat lagi Malaysia nak singkirkan transaksi tunai


MENURUT beberapa laporan berita tahun ini sahaja, Malaysia dilihat sudah memulakan langkah yang tepat menuju ke arah menjadi masyarakat nirtunai.

Pada Julai yang lalu, Visa Inc. melaporkan lebih 70 peratus rakyat Malaysia menggunakan kad tanpa sentuh sebagai kaedah pembayaran.

Manakala pada Oktober lalu pula, Paynet melaporkan penembusan kaedah pembayaran tanpa tunai di Selangor dan Pulau Pinang telah pun melebihi angka 90 peratus.

Angka-angka peratusan penggunaan kaedah nirtunai yang besar ini dilihat mengagumkan.

Mungkin benar tidak lama lagi rakyat Malaysia mungkin tidak akan pegang lagi pegang tunai dalam tangan.

Hanya kad bank dalam dompet ataupun kad maya dan aplikasi e-dompet sahaja dalam telefon pintar yang bakal digunakan untuk pembayaran.

Namun benarkah hal itu yang akan berlaku? Benarkah Malaysia tidak lama lagi bakal menjadi masyarakat nirtunai? Pada pendapat saya, lambat lagi.

Sebabnya mudah sahaja. Antaranya sebab yang paling jelas ialah ketiadaan perkhidmatan pembayaran kad debit selepas jam 12.00 pagi hingga waktu tertentu bergantung pada bank masing-masing.

Cuba bayangkan ada bank yang tidak memberi kelulusan untuk penggunaan kad debit daripada jam 12.00 hingga 12.30 pagi. Lama benar tempohnya itu, sampai setengah jam!

Ada yang kata kalau guna kad kredit lepas sahaja sebab transaksi diuruskan bukan melalui bank tetapi penyedia khidmat kad kredit tersebut.

Jadi apa nasibnya jika khidmat tunai tidak lagi relevan tetapi rakyat marhaen yang tidak layak untuk memiliki kad kredit mahu buat pembayaran menggunakan kad debit selepas jam 12.00 pagi?

Takkanlah mahu tunggu sehingga jam 12.30 pagi baru boleh bayar?

Kalau kereta sudah tak ada minyak sampai kering tangki, takkan mahu tunggu sampai setengah jam baru boleh isi minyak, baru kereta boleh bergerak balik?

Faktor lain yang perlu dipertimbangkan ialah capaian internet penyedia khidmat bayaran.

Jika capaian internet tiba-tiba tidak stabil, pembayaran juga tidak dapat dilakukan.

Bagaimana contohnya jika terjadi bencana yang besar hingga menyebabkan menara komunikasi tumbang sehingga sambungan internet tergendala, takkan kita tak boleh bagi orang buat pembayaran?

Satu lagi faktor yang perlu diambil kira ialah kemungkinan masalah sistem penyedia pembayaran tersendiri.

Hal ini sering terjadi yang mana penyedia sistem khidmat bayaran seperti bank mahupun pihak ketiga mempunyai masalah sistem sehinggakan sistem kad terpaksa berada luar talian sehingga menyebabkan pembayaran tergendala.

Jika hal ini masih terjadi dengan agak kerap, hal ini bermakna sistem nirtunai 100 peratus masih lagi tidak relevan.

Ketiga-tiga sebab yang dinyatakan ini hanyalah beberapa sebab daripada banyak lagi sebab mengapa pada saya, Malaysia masih lambat lagi ingin menuju ke arah menjadi masyarakat nirtunai.

Selagi kecelaruan ini tidak dapat diselesaikan, maka, wang tunai masih lagilah “raja” bagi pembayaran di Malaysia.

Lambat lagilah Malaysia nak “Go Cashless” nampak gayanya. – 22 November, 2023.

* Wan Salman Wan Sallam, aktivis Ikram

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen