PERANCIS dalam usaha menghantar kapal pengangkut helikopter Dixmudenya ke timur Mediterranean untuk menawarkan bantuan perubatan di Gaza yang dilanda perang, kata pejabat presiden Perancis semalam.
“Dixmude akan tiba di Mesir dalam masa terdekat,” kata pejabat Presiden Emmanuel Macron.
Penerbangan sewa yang membawa lebih daripada 10 tan bekalan perubatan juga dirancang untuk permulaan minggu ini.
“Perancis juga akan menyumbang kepada usaha Eropah dengan peralatan perubatan dalam penerbangan Eropah pada 23 dan 30 November,” kata pejabat presiden.
Ia menambah Perancis sedang berusaha membantu pemindahan kanak-kanak yang cedera dan sakit yang memerlukan rawatan kecemasan dari Semenanjung Gaza ke hospitalnya.
Macron kemudiannya berkata di X, sebelum ini Twitter, bahawa sehingga 50 kanak-kanak boleh diterbangkan untuk rawatan di hospital di Perancis sekiranya perlu.
Israel berikrar untuk memusnahkan pemerintah Gaza Hamas selepas kumpulan pejuang Palestin itu melakukan serangan pada 7 Oktober lalu.
Kira-kira 1,200 orang kebanyakannya orang awam terbunuh di Israel semasa serangan Hamas pada 7 Oktober dan kira-kira 240 dijadikan tebusan, menurut pegawai Israel.
Di Gaza seramai 13,000 orang terutamanya orang awam dan lebih 5,000 daripadanya kanak-kanak dibunuh oleh tentera Israel, menurut pegawai Hamas.
Macron memberitahu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terdapat terlalu banyak kerugian orang awam di Gaza, kata pejabatnya semalam.
Pemimpin Perancis itu juga mengingatkan Netanyahu tentang “keperluan mutlak untuk membezakan pengganas dan penduduk” serta “pentingnya mencapai gencatan senjata kemanusiaan segera”.
Macron pada Sabtu bercakap dengan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mengenai rundingan berterusan untuk membebaskan tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.
Menteri pertahanan Perancis Sebastien Lecornu pada Sabtu berada di Qatar yang mengetuai usaha pengantaraan.
Presiden Perancis dan rakan sejawatannya dari Mesir bersetuju mengenai “keperluan untuk menambah bilangan trak memasuki Gaza dan untuk mengukuhkan penyelarasan bagi menyampaikan bantuan kemanusiaan dan merawat yang cedera,” kata pejabat Macron. – AFP, 20 November, 2023.
Komen