TIGA bot yang sarat dengan lebih 500 pelarian Rohingya mendarat di wilayah paling barat Indonesia hari ini, kata agensi PBB, dalam salah satu ketibaan terbesar sejak Myanmar melancarkan tindakan kejam ke atas kumpulan minoriti itu pada 2017.
Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam dianiaya dengan teruk di Myanmar, dan ribuan pelarian mempertaruhkan nyawa setiap tahun dalam pelayaran yang panjang dan mahal, selalunya dalam bot kecil, untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.
Rakan sekutu agensi perlindungan pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Faisal Rahman memberitahu AFP sebuah bot tiba di Bireuen, wilayah Aceh dengan 256 orang di dalamnya, manakala sekurang-kurangnya 239 yang lain tiba di wilayah Pidie Aceh dan sebuah bot lebih kecil membawa 36 pelarian tiba di Aceh Timur.
“Mereka ditemui di beberapa tempat,” kata Rahman hari ini.
Katanya, daripada 256 yang menaiki bot ke Bireuen itu, 110 adalah wanita dan 60 kanak-kanak.
Menurut Rahman, ia adalah bot sama yang diusir penduduk tempatan pada Khamis, menyebabkan ia terdampar di pesisir pantai selama beberapa hari.
“Ia disahkan… kerana ramai pelarian dikenal pasti oleh pegawai keselamatan semasa mendarat,” katanya.
Menurut pegawai tempatan, pendaratan terbaru itu menjadikan lebih 800 pelarian sudah mendarat di wilayah Aceh pada minggu ini saja, selepas 196 tiba pada Selasa dan 147 pada Rabu.
Seorang wartawan AFP melihat bot Rohingya berlabuh di pantai di Bireuen selepas pelarian itu mendarat.
Semua pelarian tersebut ditahan di pusat perlindungan sementara menunggu keputusan daripada pihak berkuasa mengenai nasib mereka, dan kebanyakannya dalam keadaan sihat. – AFP, 19 November, 2023.
Komen