Bangladesh pindah pelarian Rohingya dari kawasan risiko Taufan Mocha


Kem pelarian Rohingya di Teknaf, Bangladesh diperbuat daripada kanvas dan buluh. – Gambar fail AFP, 13 Mei, 2023.

BANGLADESH menggerakkan usaha memindahkan pelarian Rohingya daripada kawasan berisiko ke beberapa pusat komuniti dengan ratusan dilapor meninggalkan pulau ketika taufan paling kuat dalam tempoh hampir dua dekad melanda negara itu dan Myanmar.

Taufan Mocha membawa angin sehingga 175km sejam dan pegawai meteorologi di Dhaka dan India mengklasifikasikannya sebagai ‘sangat teruk’.

Ia dijangka mendarat pagi esok di antara Cox’s Bazar, di mana hampir sejuta pelarian Rohingya mendiami kem yang sebahagian besarnya terdiri daripada tempat perlindungan biasa dan Sittwe di pantai Rakhine barat Myanmar.

“Taufan Mocha ribut paling kuat sejak Taufan Sidr,” kata ketua Jabatan Meteorologi Bangladesh, Azizur Rahman kepada AFP.

Taufan itu melanda pantai selatan Bangladesh pada November 2007 mengakibatkan lebih 3,000 terkorban dan menyebabkan kerosakan berbilion dolar.

Pihak berkuasa Bangladesh sebelum ini melarang etnik Rohingya membina rumah konkrit kekal, berikutan bimbang ia boleh mendorong mereka menetap secara kekal berbanding kembali ke Myanmar, negara di mana mereka melarikan diri lima tahun lalu.

“Kami tinggal di rumah yang diperbuat daripada kanvas dan buluh. Kami takut, panik dan kami tidak tahu di mana kami akan berlindung,” kata pelarian Enam Ahmed, yang tinggal di kem Nayapara berhampiran bandar sempadan Teknaf.

Ramalan menjangkakan taufan akan membawa banjir yang boleh mencetuskan tanah runtuh, dengan kebanyakan kem dibina di lereng bukit. Bagaimanapun tanah runtuh fenomena biasa di rantau terbabit.

Taufan itu juga diramal mencetuskan gelombang dengan ketinggian sehingga 4 meter yang boleh menenggelami perkampungan pesisir pantai serta sungai yang rendah.

Sementara itu, pegawai memaklumkan ribuan sukarelawan sudah memindahkan etnik Rohingya daripada kawasan berisiko ke struktur yang lebih kukuh seperti sekolah. – AFP, 13 Mei, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen