Lelaki Kanada langgar keluarga Islam disabitkan kesalahan membunuh


Orang ramai berarak melepasi tempat letak kereta Cherryhill Village Mall, lokasi Nathaniel Veltman ditangkap, semasa perarakan pelbagai agama untuk menamatkan kebencian, di London, Ontario, Kanada. – Gambar AFP, 17 November, 2023.

SEORANG lelaki Kanada sengaja melanggar sebuah keluarga Islam dengan senjaga didapati bersalah semalam dalam perbicaraan pembunuhan dengan juri diminta mempertimbangkan motif keganasan berkaitan dengan ketuanan kulit putih.

Nathaniel Veltman, 22, disabitkan dengan empat pertuduhan pembunuhan peringkat pertama atau pembunuhan terancang, dan satu pertuduhan cubaan membunuh. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila dijatuhkan hukuman.

Dia mengakui melanggar keluarga Afzaal dengan trak pikapnya pada Jun 2021 di London, Ontario, yang menyebabkan tiga ahli keluarga itu maut dan seorang budak lelaki menjadi yatim piatu.

Pendakwa raya berhujah ketika perbicaraan yang dia didorong oleh ideologi ketuanan kulit putih dan cuba menakut-nakutkan atau bertindak ganas terhadap orang Islam.

Pihak pembelaan berkata dia mengalami masalah mental - yang tidak memenuhi syarat bagi rayuan tidak waras - dan berada dalam “keadaan kekeliruan melampau” selepas memakan cendawan psilocybin halusinogen pada hujung minggu itu.

“Keputusan hari ini adalah langkah monumental dalam memerangi kebencian dan Islamofobia,” kata Imam Abdul Fattah Twakkal di luar mahkamah.

“Ia menghantar mesej yang jelas bahawa kebencian itu tidak mempunyai tempat dalam masyarakat kita.”

Tabinda Bukhari, ibu kepada salah seorang mangsa memberitahu pemberita: “Kesedihan yang berkekalan, trauma dan kekosongan yang tidak dapat digantikan akibat kehilangan beberapa generasi satu keluarga benar-benar menusuk kami mendalam.”

Juri dalam perbicaraan hampir 10 minggu diberitahu bahawa Veltman menulis “manifesto pengganas,” yang ditemui pada komputernya, di mana dia menyokong nasionalisme kulit putih dan menggambarkan kebenciannya terhadap orang Islam.

Dia berpakaian seperti askar, memakai perisai badan dan topi keledar, dengan T-shirt tentera salib serta palang merah, kata pendakwa raya Fraser Ball dalam hujah penutup awal minggu ini.

“Dia memburu orang Islam untuk membunuh,” katanya.

Apabila Veltman melepasi keluarga Afzaal di jalan London pada petang Ahad yang hangat itu, peguam Crown berkata, dia memusingkan traknya dan memecut laju dan merempuh mereka. 

Salman Afzaal, 46, isterinya Madiha Salman, 44, anak perempuan mereka Yumnah berusia 15 tahun dan neneknya Talat Afzaal, 74, terbunuh. Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang menjadi yatim piatu dalam kemalangan itu mengalami kecederaan serius.

Tarikh perbicaraan hukuman akan dijadualkan pada 1 Disember.

Pembunuhan itu adalah serangan anti-Islam terburuk di Kanada sejak kejadian tembakan di sebuah masjid di Bandaraya Quebec pada 2017 yang menyebabkan enam maut. Pelaku tembakan itu tidak dituduh dengan keganasan. – AFP, 17 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen