Jordan batal perjanjian tenaga-air dengan Israel


Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanan di Amman membantah tindakan Jordan memeterai perjanjian pertukaran air dan tenaga dengan Israel. – Gambar AFP, 17 November, 2023.

JORDAN mengumumkan pada Khamis ia akan membatalkan perjanjian yang dirancang dengan Israel bagi pertukaran tenaga solar dan air disuling, susulan perang di Gaza.

“Tenaga untuk perjanjian air sepatutnya dilakukan bulan lepas, tetapi kami tidak akan menandatanganinya,” kata Menteri Luar Negeri Ayman Safadi kepada saluran berita yang berpangkalan di Qatar, Al Jazeera dalam satu temu bual.

“Bolehkah anda bayangkan seorang menteri Jordan duduk bersama seorang menteri Israel untuk menandatangani perjanjian sementara Israel membunuh anak-anak kami di Gaza?” soal Safadi.

“Apa yang Israel lakukan mewujudkan iklim kebencian di mana tidak boleh ada hubungan aman yang normal.”

Kedua-dua negara menandatangani perisytiharan hasrat untuk pertukaran tenaga solar Jordan dengan air suling Israel di Dubai pada November 2021 sebagai sebahagian daripada perjanjian yang diuruskan oleh Amerika Syarikat.

Tetapi hampir enam minggu pengeboman tanpa henti Israel ke atas Gaza sebagai tindak balas kepada serangan  oleh Palestin pada 7 Oktober mencetuskan gelombang kemarahan kerajaan itu.

Ribuan orang menyertai protes jalanan menuntut pemansuhan perjanjian damai 1994 dengan Israel dan penutupan kedutaan Israel. – AFP, 17 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen