Sektor pembinaan Malaysia capai pertumbuhan memberangsangkan tahun ini, kata menteri


Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata sektor pembinaan Malaysia merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun ini dengan 9,144 projek berjaya dilaksanakan sehingga September. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2023.

SEKTOR pembinaan Malaysia merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan tahun ini dengan 9,144 projek berjaya dilaksanakan sehingga September, kata Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata usaha itu mewakili pelaburan besar yang berjumlah RM63 bilion bagi inisiatif swasta dan RM84 bilion untuk projek kerajaan.

Katanya kira-kira 91 peratus daripada projek itu diuruskan oleh kontraktor tempatan sekali gus membuktikan kepakaran mereka dalam membentuk landskap infrastruktur Malaysia.

“Statistik ini bukan sahaja melambangkan kontrak tetapi turut merangkumi kemajuan, pembangunan dan janji yang tidak berbelah bahagi untuk masa depan yang lebih cerah serta mempamerkan kerancakan industri pembinaan kita.

“Pelaburan infrastruktur hari ini membuka jalan bagi ketersambungan yang dipertingkatkan, pendidikan yang lebih baik, penjagaan kesihatan yang unggul dan kualiti hidup yang tinggi untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya.

Nanta berkata demikian semasa merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2023 serta Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia (BuildExpo Malaysia) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur hari ini.

ICW yang memasuki edisi ke-22 tahun ini berlangsung selama tiga hari bermula semalam di MITEC, dengan tema ‘Leading ESG in Construction’. – Bernama, 16 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen