Tol percuma Deepavali bermula tengah malam ini, umum menteri


Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

PENGGUNA lebuh raya di seluruh negara akan mendapat kemudahan tol percuma untuk dua hari bermula tengah malam ini sehingga menjelang tengah malam Ahad, umum Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi.

Tol percuma itu dikuat kuasakan bermula 12.01 tengah malam ini dan berakhir 11.59 malam Ahad.

“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

“Ini juga selari dengan hasrat kerajaan perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, tempoh kuat kuasa tol percuma itu dipersetujui oleh Kementerian Kerja Raya dan syarikat konsesi lebuh raya.

Tempoh itu dipilih bagi mengekal penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang balik sempena cuti Deepavali, yang dianggar melibatkan hampir 12 juta kenderaan.

Pemilihan tempoh itu juga mengambil kira operasi logistik di lebuh raya termasuk pengurusan kawalan trafik dan kawasan rehat dan rawat yang melibatkan pihak ketiga, tambahnya.

“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya.

“Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander menasihati pengguna lebuh raya supaya sentiasa menyemak maklumat yang dihebahkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui media sosial bagi mendapatkan perkembangan terkini keadaan trafik semasa demi memudahkan perjalanan.

Deepavali bakal disambut Ahad ini, menjadikan di sesetengah negeri Isnin dikira sebagai cuti ganti kepada cuti umum. 

Kementerian Pendidikan pula menetapkan cuti tambahan sehari sebelum dan sehari selepas, menjadikan sebahagian negeri bercuti antara Jumaat dan Isnin, sementara sebahagian lagi antara Sabtu dan Selasa.

Semasa cuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada April lalu, Putrajaya memberikan tol percuma yang disebut sebagai ‘tol rahmah’ selama empat hari melibatkan 33 lebuh raya utama di seluruh negara. – Bernama, 10 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen