‘Langkah kecil’ Kit Siang, DAP tembusi kawasan Melayu


Looi Sue-Chern

DALAM sebulan, Penaga – kubu kuat Umno di utara Seberang Prai, Pulau Pinang – sudah melihat ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebanyak dua kali.

Veteran DAP itu yang melawat Penaga bulan lalu, sekali lagi datang ke sana petang semalam untuk bertemu masyarakat tempatan di Kampung Bahru dan Kampung Bakau Tua, dan membuka pusat khidmat terbaru DAP di Taman Penaga Permai.

Beliau juga menyertai masyarakat Islam tempatan dalam satu acara berbuka puasa anjuran Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Husin Mat Isa di Kampung Bakar Kapor.

Kit Siang duduk bersila di atas tikar dan makan dalam dulang berkongsi dengan pemimpin masyarakat tempatan sementara ahli DAP lain bergaul dengan masyarakat tempatan ketika makan.

Terdahulu di pusat khidmat, ahli Parlimen Gelang Patah berusia 76 tahun itu bercakap mengenai perpaduan, menolak ekstremisme, membina negara progresif dan mengukuhkan demokrasi untuk memberikan periksa dan imbang lebih baik di Malaysia.

Dalam satu kumpulan kecil penyokong yang sebahagiannya orang Melayu – beliau bercakap mengenai bagaimana DAP yang berusia 52 tahun itu diburukkan oleh musuh politiknya selama ini.

“Saya terutamanya dituduh jadi anti Melayu, anti Islam dan macam-macam lagi. Saya pernah dipanggil komunis, orang jahat. Saya tidak faham kenapa ia boleh berlaku dalam masyarakat kita yang pelbagai.

“Di Sabah, anda lihat orang berbeza agama dalam satu keluarga. Mereka semua hidup aman. Ia patut jadi pengajaran kepada kita,” katanya.

Wakil rakyat DAP, antaranya Adun Air Itam dan setiausaha politik ketua menteri, Wong Hon Wai dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim turut memberi ucapan, bercakap mengenai penambahbaikan kebajikan sosial oleh kerajaan negeri Pakatan Harapan.

Sim berkata orang ramai boleh minta bantuan di mana saja ada logo roket DAP, walaupun kawasan di mana DAP tidak ada kerusi di situ.

Mohd Radzi Wahab, bekas ketua JKKK yang turut berada di situ memberitahu The Malaysian Insight dia akan mengumpulkan orang menyokong DAP jika boleh.

“DAP bukan jahat. Saya sangat gembira lihat Kit Siang di sini lagi,” katanya yang dikenali sebagai Pak Su, yang menyertai Amanah selepas bekas partinya PAS semakin mesra dengan Umno.

“Kita semua rakyat Malaysia. Kita tidak boleh ada politik sempit,” katanya.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Sim berkata bukan DAP yang antagonis terhadap Melayu atau sebaliknya.

Beliau berkata Melayu terutama di kawasan luar bandar tidak banyak tahu mengenai DAP kerana mereka hampir tidak pernah berinteraksi dengan parti itu sebelum ini, kerana kawasan mereka secara tradisi dikawal Umno.

“Sudah tentu mereka ingat DAP macam raksasa,” katanya.

Sim berkata DAP akan hanya dapat menembusi kawasan Umno itu selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan.

Bersatu diketuai bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno Dr Mahathir Mohamad, yang keluar Umno untuk menjatuhkan pentadbiran persekutuan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak.

“Kisah menakutkan mengenai DAP dapat ditolak bila kawasan luar bandar mula terbuka kepada pembangkang, membenarkan kami menyampaikan maklumat.

“Kami dapat bertemu rakyat secara peribadi dan menerusi media sosial. Orang ramai mulai sedar. Malah Dr Mahathir sendiri berkata tahun lalu yang beliau salah anggap mengenai DAP,” katanya.

Sim yang sering memberi ceramah di kawasan Melayu seluruh negara berkata jika Umno menghalang interaksi secara fizikal sekalipun pada masa sekarang, ia tidak akan dapat menyekat komunikasi online.

“Masih ada sekatan. Ada orang tidak datang bila kami anjurkan program. Mereka rasa pelik berada di situ, jika mereka datang, mereka sembunyi di satu sudut untuk dengar.

“Tetapi saya fikir itu yang Umno takut. Sebab itu mereka cuba mengambil alih Internet. Keadaan tidak seperti dulu lagi. Ia kini lebih baik,” katanya.

Sim berkata DAP akan teruskan dalam langkah sedikit demi sedikit, mendekati rakyat di kawasan yang mereka ketahui sebelum ke tempat lain.

Katanya, veteran seperti Kit Siang sendiri sanggup turun padang bertemu seramai mungkin masyarakat, walaupun hanya khalayak kecil seperti di Penaga.

“Jangan pandang rendah sebab cerita ini akan tersebar. Esok mereka akan beritahu yang lain Kit Siang datang kampung mereka, dan dia bukan raksasa ada tangan lima atau tiga mata.

“Cerita tersebar cepat dalam kampung kecil,” katanya. – 10 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen