Draf WHO CA+, pindaan IHR 2005 dibentang di Perhimpunan Kesihatan Sedunia


Muhammad Radzi menasihati orang ramai supaya berhenti menyebarkan sebarang perkongsian maklumat palsu. – Gambar Facebook, 11 November, 2023.

KETUA Pengarah Kesihatan Muhammad Radzi Abu Hassan berkata draf berkaitan Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005) akan dibentang di Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-77 pada Mei 2024.

Beliau berkata sesi perbincangan antara Badan Perundingan Antara Kerajaan (INB) dan Kumpulan Kerja Mengenai Pindaan Kepada IHR (WGIHR) masih berlangsung.

“Sehingga kini, rundingan bagi penyediaan dokumen INB WHO CA+ masih lagi di peringkat awal, tiada keputusan akan diberikan sehingga segalanya dipersetujui,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

Pada Oktober lepas, Muhammad Radzi berkata pendirian Malaysia dalam rundingan WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 adalah jelas iaitu menjaga kepentingan kesihatan awam selaras dengan undang-undang serta kedaulatan negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan semua negara anggotanya telah mencapai kata sepakat untuk menubuhkan dua platform rundingan antarabangsa iaitu INB bagi menghasilkan instrumen antarabangsa yang dikenali sebagai INB WHO CA+ dan WGIHR.

Ia bagi memperkukuh aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan dan respons terhadap pandemik di peringkat antarabangsa dalam usaha mengurangkan impak ke atas sesebuah negara khususnya.

Muhammad Radzi juga berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius penyebaran berita palsu yang mendakwa ‘suntikan ISR’ akan dilaksanakan secara paksa kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata pihak yang tidak bertanggungjawab menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat kerana kementerian itu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan sedemikian dan menegaskan bahawa suntikan tersebut tidak wujud.

“Ini adalah fitnah dan tohmahan semata-mata dan boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia serta mencalarkan imej KKM,” katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhenti menyebarkan sebarang perkongsian maklumat palsu dan tidak sah yang boleh mendatangkan kekeliruan. – Bernama, 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen