Belanjawan inklusif, bantu pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat, kata menteri


Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini. – Gambar Facebook, 13 Oktober, 2023.

BELANJAWAN 2024 Malaysia MADANI, yang merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah negara dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini, disifatkan sebagai inklusif bagi pertumbuhan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata belanjawan itu dilihat reformis, progresif, mesra rakyat dan mampan dari segi pembangunan ekonomi negara.

Beliau turut meluahkan rasa terharu ke atas penghargaan dan pengiktirafan yang diterima daripada Perdana Menteri, berhubung kejayaan kementerian itu menyelamatkan 256 projek terbengkalai bernilai RM23 billion.

“Satu dana yang cukup besar juga telah pun diperuntukkan, iaitu sebanyak RM2.47 billion untuk kementerian menyediakan perumahan mampu milik, serta membantu menyelamatkan lagi projek terbengkalai yang kita warisi daripada kerajaan dahulu.

“Ini memberikan satu tanggungjawab dan amanah kepada kementerian, kita akan terus bekerja bertungkus-lumus demi pertiwi, demi negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata jumlah peruntukan yang besar diterima kementeriannya merupakan suatu pelaburan oleh kerajaan perpaduan terhadap keperluan kesihatan rakyat.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM41.22 bilion dengan pecahan sebanyak RM35.15 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus dan RM6.07 billion untuk Perbelanjaan Pembangunan, juga mampu untuk menyumbang kepada peningkatan produktiviti pekerja, demi pemerkasaan ekonomi negara.

“Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak RM4.89 bilion atau 13.45 peratus, berbanding peruntukan tahun 2023 berjumlah RM36.33 bilion.

“Selaras dengan Kertas Putih Kesihatan, Belanjawan 2024 ini ialah permulaan yang amat positif, ke arah peningkatan belanjawan sektor kesihatan kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata pihaknya menyasarkan untuk memperoleh surat setuju terima dalam masa terdekat, supaya kerja-kerja awalan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak diteruskan.

“Sekarang proses yang perlu dilalui ialah penilaian pengurusan, pengurusan kejuruteraan dan sebagainya, kita berharap ia akan berjalan dengan lancar, dengan sasaran untuk mendapat surat setuju terima dalam masa terdekat.

“... ini bagi membolehkan kerja-kerja awalan diteruskan dalam masa terdekat ini dan kementerian berharap kerja pembinaan boleh bermula pada awal tahun hadapan,” katanya.

Nanta turut menyambut baik peruntukan pembangunan untuk Sarawak, yang ditingkatkan kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion, sebelum ini.

Bagi Menteri Luar Zambry Abd Kadir pula peruntukan tambahan yang diluluskan kepada kementeriannya memberikan satu rangsangan untuk meneruskan kerja-kerja mengantarabangsakan Malaysia.

“(Selain itu ia) memberi kekuatan untuk kita, melihat semula dalam aspek-aspek pembangunan, termasuk tempat-tempat di kedutaan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh gembira kerana kebanyakan harapan yang disenaraikan kementeriannya diluluskan perdana menteri.

“Yang paling utama saya lihat game changer untuk KBS ialah pelepasan cukai khusus sukan kategori baharu untuk pembelian peralatan dan perbelanjaan, termasuk yuran latihan sukan. Ini yang kita perjuangkan selama ini dan kita dapat.

“Selain itu Geran Padanan Sukan RM50 juta juga sangat membantu, bagi memperbaiki prestasi atlet kita dan menganjurkan lebih banyak lagi pertandingan peringkat antarabangsa, tahun hadapan,” katanya. – Bernama, 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen