Jabatan Peguam Negara arah polis lengkap semula siasatan buli di MCKK, lapor media


Sebelumnya kertas siasatan itu dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya pada 9 November untuk nasihat selanjutnya. – Gambar X, 11 November, 2023.

JABATAN Peguam Negara memberi beberapa arahan khusus kepada pihak polis untuk melengkapkan semula siasatan berhubung kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), kata polis.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara arahan khusus itu ialah untuk mendapatkan laporan penuh perubatan mangsa.

“Tindakan sedang diambil oleh pihak pegawai penyiasat kes.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula kepada pihak peguam negara dalam masa terdekat setelah semua tindakan atau laporan diperolehi,” katanya, seperti dipetik Astro Awani.

Polis sebelum ini merujuk kertas siasatan berkenaan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Perak pada 6 November dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kertas siasatan itu kemudian dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara di Putrajaya pada 9 November untuk nasihat selanjutnya.

Kes berkenaan jadi perhatian umum selepas tular maklumat di media sosial mengenai seorang pelajar sekolah berasrama di Kuala Kangsar dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli oleh pelajar senior.

Maklumat yang tular itu turut menghebahkan keputusan hukuman disiplin yang dipertikaikan.

Susulan itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) MCKK mengeluarkan satu kenyataan terbuka menyelar tindakan keluarga mangsa yang menggunakan media sosial untuk menghebahkan kejadian sehingga imemberi imej buruk’ kepada nama baik sekolah.

Pendirian PIBG MCKK itu bagaimanapun terus dikecam umum di media sosial.

Awal minggu ini, pihak PIBG MCKK membuat laporan polis dan mengancam tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang menularkan kejadian yang didakwa berunsur fitnah dan palsu. – 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen