Tiba masa peguam negara bertanggungjawab kepada Parlimen 


Fakhrurrazi Rashid

Cadangan membawa peguam negara menjawab pertanyaan di Parlimen bukanlah satu idea baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2023.

TAHNIAH diucapkan kepada jentera perpaduan kerana berjaya mengekalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Simpang Jeram dan Pulai. Keputusan pada 9 September membuktikan rakyat di kedua-dua kawasan mengangkat jasa dan pemimpin bekerja keras seperti Almarhum Salahuddin Ayub. 

“Rahmah” Salahuddin Ayub itu padu dan berkesan dalam jiwa rakyat. Legasi ini sudah pasti perlu dipukul kerajaan perpaduan agar ia terus berbakti kepada rakyat kebanyakan. Saya juga berharap lebih ramai pemimpin baharu mengangkat kepimpinan Salahuddin dalam memacu kemajuan rakyat dan negara. 

Kemenangan di kedua-dua pilihan raya kecil (PRK) ini bukti pemimpin yang ikhlas dan berjiwa besar membantu rakyat tidak akan berdepan masalah untuk menang mana-mana pilihan raya, bukan kerana melepaskan pemimpin yang mempunyai 47 kes pertuduhan pecah amanah atas keputusan lepas tanpa bebas (DNAA). 

Entah kenapa, segelintir penyokong kerajaan perpaduan yang agak pekak dan rabun mempertahankan isu ini untuk mengekalkan kestabilan kerajaan. Dalil kerajaan tidak campur tangan kian lunak didendangkan sehingga mengatakan Perikatan Nasional (PN) pernah guna DNAA untuk lepaskan pemimpin korup Umno.  

Sedarlah, jawaban tidak masuk akal dan seolah-olah meletakkan tahap politik PH seperti PN? Persoalannya, apakah orang Umno juga akan pertahankan Lim Guan Eng jika dilepaskan dalam kes dakwaan menerima suapan untuk kes terowong Pulau Pinang? Sudah pasti tidak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki menyatakan pihaknya akan membuat siasatan lanjut akan kes Ahmad Zahid Hamidi. Ketegasan ini mungkin melegakan rakyat, tetapi sudah terlambat. 

Kebanyakan rakyat melihat kelemahan kerajaan perpaduan mengendalikan kes rasuah berprofil tinggi yang sudah lima tahun berlangsung. Faktanya, tidak pernah individu yang dikenakan DNAA akan didakwa semula ke mahkamah atas bukti baharu dan ia selalunya lesap secara perlahan-lahan. 

Pencerahan yang gelap 

Pencerahan Jabatan Peguam Negara hanya menambah defisit kepercayaan sisi gelap rakyat ke atas pendirian kerajaan perpaduan memerangi rasuah. Logiknya mudah – peguam negara mana yang mampu mendakwa timbalan perdana menteri? Kalau ada yang berani pun, dia akan ditendang keluar dari pejabat secepat mungkin. 

Hairan juga bila kes ini tidak boleh dibahaskan di Parlimen kerana “Parlimen bukan mahkamah”. Ironinya, dalam isu peguam negara menggugurkan kes 1MDB untuk Najib Razak, maka pemimpin PH lah beria-ia membawa usul ke Parlimen. 

Kalau begitu, apa beza integriti PH, Barisan Nasional (BN) dan PN sekarang? 

Reformasi Parlimen teruji dengan pendirian tempang ini. Apakah guna kalau ada menteri undang-undang dan reformasi institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang secara langsung mengawasi peguam negara dan pendakwa raya tetapi kes Zahid ini tidak boleh dibahaskan? 

Apa lagi yang tinggal hari ini? Melainkan rasa kecewa rakyat dan penyokong PH yang sedang melihat prinsip integriti dimusnahkan pemimpin PH dalam kerajaan perpaduan.  Pemimpin PH yang dahulunya turun ke jalanan menolak kes rasuah terus mendiamkan diri, kononnya perlu mengikut disiplin parti.  

Normalisasi budaya mempertahankan kerajaan secara taasub dan kurang rasional ini hanya akan menghambat agenda reformasi dan nilai politik integriti dan kejujuran yang sudah dibina sejak berdekad lamanya, khasnya dalam usaha mengangkat institusi parlimen sebagai badan semak dan imbang terhadap badan eksekutif.  

Badan pemikir dan badan bukan kerajaan (NGO) pula membicarakan soal pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya sebagai satu cara memperkukuh akauntabiliti tatakelola kerajaan. Ini juga tidak menjawab persoalan rakyat dalam jangka masa pendek. 

Tetapi, peranan Parlimen dalam membahas dan mempersoal pendirian Jabatan Peguam Negara ini perlu dilaksanakan dengan segera. 

Cadangan membawa peguam negara menjawab pertanyaan di Parlimen bukanlah satu idea baharu. Sewaktu perintah darurat dikuatkuasakan pada 2021, Azalina Othman Said waktu itu sebagai timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, mencadangkan peguam negara ketika itu Idrus Harun hadir ke Dewan Rakyat menjawab isu-isu Ordinan Darurat, bukan pihak ‘ketiga’ seperti menteri undang-undang. Azalina menyatakan peguam negara perlu menjadi penasihat kepada Parlimen selain jemaah menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

Peguam negara sebagai menteri Kabinet

Bukankah ini cadangan yang terbaik untuk menerangkan kes Zahid di Parlimen memandangkan Azalina adalah menteri undang-undang dan reformasi institusi kerajaan perpaduan? 

Atau Azalina boleh memanggil peguam negara untuk hadir ke Parlimen untuk menjawab pertanyaan ahli Parlimen dalam jawatankuasa pilihan khas? 

Lim Kit Siang turut menyahut kenyataan Azalina ketika itu dengan mencadangkan Idrus dilantik sebagai senator dan menjadikan beliau sebagai menteri Kabinet berdasarkan Perkara 145 (5) Perlembagaan Persekutuan. 

Logiknya, apabila peguam negara menjadi menteri, dia perlu hadir menjawab pertanyaan dan perbahasan di Parlimen dan boleh juga hadir ke mesyuarat Kabinet.

Jika imbas kembali sejarah politik negara, peguam negara pernah menjadi sebahagian daripada Jemaah Menteri dan ahli Parlimen seperti Abdul Kadir Yusof (peguam negara ke-2) di bawah Kabinet Abdul Razak, dan Hamzah Abu Samah (peguam negara ke-3) sewaktu pentadbiran Hussein Onn. 

Maka, idea diketengahkan Kit Siang adalah selari dengan amalan yang pernah dilaksanakan bekas perdana menteri Malaysia sebelum ini.  

Kali terakhir saya semak jumlah senator di laman sesawang Parlimen, terdapat enam kekosongan senator lantikan Agong atas nasihat perdana menteri. Masih belum terlambat untuk melantik peguam negara yang baharu Ahmad Terrirudin Salleh sebagai senator, dan menjadi anggota Kabinet perpaduan bagi menjawab pendirian peguam negara dalam isu 47 kes Zahid dan garis masanya untuk melakukan pendakwaan semula bila cukup bukti.

Pendekatan ini salingan kepada proses pemisahan kuasa peguam negara dan pendakwa raya yang akan dilaksanakan. Kaedah ini lebih mudah, cepat, dan tidak perlu melalui proses yang panjang lebar. 

Kemenangan di PRK Simpang Jeram dan Pulai perlu menjadi semangat buat kerajaan perpaduan membetulkan masalah struktur pentadbiran negara. Jangan gunakan kemenangan ini untuk berpendirian bebas dan melepaskan kes rasuah yang lain pula. 

Ini semua untuk membalas jasa budi dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada perdana menteri dalam menegakkan  keadilan dan kemakmuran Malaysia. – 13 September, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen