Ramasamy selesai kumpul RM1.52 juta bayar Zakir Naik


Ramasamy diperintah membayar RM1.52 juta kepada Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

‘TABUNG solidariti bersama Prof Ramasamy’ berjaya mencapai sasaran RM1.52 juta yang dikumpulkan setakat jam 11 pagi tadi.

Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy mengumumkannya di Facebook di mana ia berjaya dikumpulkan kurang daripada tujuh hari.

“Kami telah mencapai angka RM1,523,187.38 setakat jam 11 pagi hari ini.

“Pendanaan awam dari 2 November pada 2.30 petang hingga 9 November jam 11 pagi. Keseluruhannya 164 jam dan 30 minit (dana dikumpulkan) kurang daripada tujuh hari.

“Usaha hebat daripada penderma dari semua lapisan masyarakat. Terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi.

“Tidak dinafikan ini hadiah Deepavali terbaik,” katanya.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ramasamy membayar ganti rugi RM1.52 juta kerana memfitnah pendakwah bebas Zakir Naik antara 2017 dan  2019.

 Meski Ramasamy akan merayu keputusan mahkamah itu dan meminta penangguhan, namun wang tersebut perlu disediakan bagi mengelak dikenakan faedah.

Justeru itu, Ramasamy memaklumkan kutipan dana tersebut dihentaikan serta merta, hari ini.

Pada Sabtu, Zakir menyatakan hasrat untuk menyumbangkan kesemua wang kemenangan itu kepada Palestin.

Pada akhir prosiding, hakim turut memerintahkan Ramasamy membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Zakir tetapi peguam Razlan Hadri Zulkifli memberitahu mahkamah mereka akan memfailkan permohonan untuk menangguhkan keperluan defendan memohon maaf kepada Zakir sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan. – 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen