Syed Saddiq bakal failkan rayuan 


Noel Achariam

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan selepas disabitkan kesalahan rasuah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 November, 2023.

AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini berkata beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan kesalahan rasuah tetapi akan merayu kerana yakin dapat membersihkan namanya.

“Saya sudah berbincang dengan peguam saya, dan kami mempunyai kes yang baik untuk memfailkan rayuan.

“Saya perlu percaya kepada mahkamah. Badan kehakiman adalah jalan terakhir, jadi kita perlu menghormatinya,” kata presiden Muda itu.

Syed Saddiq berkata mahkamah adalah tempat terbaik untuk membersihkan namanya.

“Saya di sini bukan untuk (memperlekehkan) institusi. Saya rakyat Malaysia jadi saya harus dihakimi seperti rakyat Malaysia yang lain.”

Peguam Syed Saddiq Gobind Singh Deo berkata beliau akan memfailkan rayuan hari ini.

Pagi ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan kepada Syed Saddiq selepas beliau disabitkan kesalahan rasuah. 

Bekas menteri belia dan sukan itu turut didenda RM10 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana jenayah pecah amanah. Syed Saddiq juga akan disebat sekali atas kesalahan itu.

“Syed Saddiq juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana salah guna harta dan satu sebatan,” kata hakim itu.

Syed Saddiq dipenjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan pengubahan wang haram. Hukuman penjara dijalankan serentak.

Azhar membenarkan hukuman dan denda itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Syed Saddiq.

Syed Saddiq hari ini didapati bersalah berhubung empat pertuduhan jenayah pecah amanah, salah guna harta benda dan pengubahan wang haram Bersatu.

Beliau juga berkata akan mengadakan sidang media mengenai kepimpinan Muda petang ini.

“Saya akan mengadakan mesyuarat mengenai masa depan politik saya.

“Saya secara peribadi sudah membuat keputusan, apa yang saya mahu lakukan. Saya akan umumkan keputusan saya,” tambahnya. – 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen