Yuneswaran kekal menang Segamat, calon BN tarik balik petisyen pilihan raya


R Yuneswaran dari Pakatan Harapan menang di kerusi Parlimen Segamat dengan majoriti 5,669 undi pada PRU15. – Gambar Facebook, 8 November, 2023.

AHLI Parlimen Segamat R Yuneswaran dari Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 selepas calon Barisan Nasional (BN) M Ramasamy menarik balik petisyen untuk membatalkan keputusan itu, lapor Sinar Harian.

Ramasamy menarik balik petisyen itu kerana BN dan PH kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan di Putrajaya.

“Disebabkan itu tidak guna lagi kita bergaduh dan sebab itu saya withdraw (tarik diri) serta memilih untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada,” katanya, seperti dipetik Sinar Harian.

Mahkamah Pilihan Raya yang bersidang di Seremban hari ini membenarkan permohonan Ramasamy selepas mendengar hujahan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau menarik balik keseluruhan petisyan yang dikemukakan terhadap Yuneswaran sebagai responden pertama serta Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Segamat dan Suruhanjaya Pilihan Raya selaku responden kedua dan ketiga.

Rohani membenarkan petisyen ditarik balik tanpa kos.

Calon BN M Ramasamy menarik balik petisyen kerana BN dan PH kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan di Putrajaya. – Gambar Facebook, 8 November, 2023.

Hakim Pilihan Raya Mohd Radzi Abdul Hamid sebelum ini pada Januari lepas menolak petisyen Ramasamy atas bantahan awal kerana petisyennya gagal mematuhi kehendak Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Pada Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan bagaimanapun menerima rayuan Ramasamy dan mengembalikan petisyennya ke Mahkamah Pilihan Raya untuk dibicarakan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November, Yuneswaran yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR mengalahkan Ramasamy, yang jadi pesaing terdekatnya dengan 5,669 undi.

Yuneswaran meraih 23,437 undi sementara Ramasamy dapat 17,768 undi.

Dua lagi calon iaitu P Poobalan dari Perikatan Nasional dapat 8,385 undi sementara Syed Hairoul Faizey Syed Ali dari GTA hanya dapat 1,062 undi dan hilang deposit.

Dalam petisyennya, Ramasamy mendakwa Yuneswaran dan agennya melanggar peraturan pilihan raya berhubung bahan kempen bercetak termasuk kain rentang.

Beliau juga mendakwa Yuneswaran, dalam satu majlis kempen, mengagihkan bungkusan makanan kepada sejumlah pengundi. – Bernama, 8 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen