Peja isytihar kekal setia kepada Bersatu, Perikatan


Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menyifatkan dakwaan mengaitkan beliau dengan tindakan ahli Parlimen parti itu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai 'khabar angin tidak berasas'. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

TIMBALAN Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menegaskan kekal setia kepada partinya dan Perikatan Nasional (PN), ketika tersebar dakwaan mengaitkan beliau dengan tindakan ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahmad Faizal menyifatkan tuduhan itu sebagai “khabar angin tidak berasas”.

“Sebagai timbalan pengerusi PN dan timbalan presiden Bersatu, saya menentang komen-komen tidak produktif dan berniat jahat sebegini.

“Saya ingin tegaskan kesetiaan saya kepada YB Tan Sri Muhyiddin Yassin masih utuh serta tidak berbelah bagi. 

“Malah, akan terus berusaha gigih memperkuatkan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Tiga ahli Parlimen Bersatu setakat ini mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan Anwar tetapi kekal sebagai ahli parti, termasuk Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim yang berbuat demikian semalam.

Dua lagi ahli Parlimen iaitu Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan) sudah dikenakan tindakan gantung parti masing-masing empat dan enam tahun.

Semalam, aktivis Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard secara terbuka mempertikaikan kesetiaan Ahmad Faizal kepada PN.

Beliau mendakwa bekas menteri besar Perak itu “bersekongkol dengan Anwar” dan menjadi duri dalam daging kepada parti.

Ahmad Faizal menyifatkan penyebaran berita palsu mengenai dirinya sebagai fitnah jahat yang merugikan dan menambah dosa.

“Saya tidak pernah bersekongkol dengan mana-mana pihak lawan dan tidak pernah menyokong kepimpinan kerajaan persekutuan sedia ada,” katanya.

Tambahnya, mereka yang menyebar berita palsu ini hanya akan merosakkan reputasi mereka sendiri. 

“Mereka mengaku memperjuangkan parti tetapi sebenarnya telah merelakan diri menjadi alat kepada usaha melemahkan parti,” katanya.

Ahmad Faizal, yang juga pengerusi PN Negeri Sembilan, sebelum ini dituduh mensabotaj peluang PN untuk menang dalam pilihan raya negeri pada Ogos lepas.

Beliau didakwa “menjual kerusi” kepada Barisan Nasional dengan menamakan calon yang lemah bagi PN.

Ahmad Faizal juga sebelum ini menafikan tuduhan itu.

Semalam, Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan Rafiei Mustapha mendakwa Ahmad Faizal tidak berperanan sebagai ketua parti negeri selepas pilihan raya negeri dan mencadangkan agar beliau melepaskan jawatannya.

Awal hari ini, Astro Awani melaporkan Ahmad Faizal akan memaklumkan kepada Majlis Tertinggi PN supaya seorang anak tempatan dilantik untuk mengetuai PN di Negeri Sembilan.

Ahmad Faizal dilantik mengetuai PN Negeri Sembilan pada awal Jun lepas, menggantikan bekas ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith, sebagai persiapan menghadapi pilihan raya negeri pada masa itu. – 8 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen