MYAirline dalam usaha dapatkan pelabur baharu


Alfian Z.M. Tahir

MyAirline berkata mereka akan mengutamakan gaji tertunggak pekerja dan komitmen kami untuk membayar balik penumpang selepas perjanjian dengan pelabur baharu dibuat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

MYAirline Sdn Bhd kini dalam usaha merayu dua pelabur berpotensi untuk mendapatkan perjanjian baharu.

Syarikat penerbangan itu memberitahu The Malaysian Insight mereka berada pada “peringkat lanjutan” untuk menyelesaikan perjanjian itu.

“Apabila perjanjian itu selesai, syarikat akan mengutamakan gaji tertunggak pekerja dan komitmen kami untuk membayar balik penumpang susulan keadaan yang tidak dijangka,” kata syarikat itu.

Syarikat itu berkata mereka tidak mengeluarkan sebarang surat pemberhentian kepada kakitangannya.

“Hampir 900 pekerja tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu tetapi tiada sesiapa yang diberi surat penamatan perkhidmatan.

“Ada yang meletak jawatan untuk dapatkan tawaran yang lebih baik daripada syarikat lain,” kata MYAirline.

Dalam e-mel kepada The Malaysian Insight pada Isnin lepas, MYAirline berkata lesennya hanya digantung dan bukan dibatalkan.

Syarikat penerbangan itu berkata Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) tidak dibatalkan.

“Kami ingin menjelaskan kedua-dua lesen yang diperlukan untuk mengendalikan syarikat penerbangan (AOC dan ASL) hanya digantung dan tidak dibatalkan seperti yang dilaporkan.

“MYAirline tidak menerima sebarang pembatalan atau tuntutan berhenti kerja oleh pengawal selia tempatan dan kini sedang menyelesaikan rundingan untuk pelaburan semula dan memulakan semula perniagaannya,” katanya.

MyAirline berkata mereka tidak mengeluarkan sebarang surat pemberhentian kepada kakitangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

Lesen hanya digantung, tidak ditamatkan

Minggu lalu The Malaysian Insight melaporkan MYAirline tidak akan mendapat pelabur baharu selepas Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan tambang murah itu digantung.

Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum ini mengumumkan penggantungan ASL MYAirline.

Mavcom mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada MYAirline pada 13 Oktober mengarahkan syarikat penerbangan tambang rendah itu memberikan representasi bertulisnya dalam masa 14 hari.

MYAirline berkata daripada kumpulan asalnya yang terdiri daripada 10 pesawat, enam pesawat dibatalkan pendaftaran oleh pemberi pajak mereka.

“Tindakan ini selaras dengan amalan industri standard yang bertujuan untuk melindungi aset pemberi pajak.

“Pada masa ini empat pesawat masih didaftarkan dan terus diuruskan oleh pemberi pajak dan dibantu oleh Organisasi Penyelenggaraan Kelayakan Udara Berterusan MYAirline.

“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa pesawat ini berada di bawah kawalan pemberi pajak sejak 13 Oktober 2023 dan bukan perkembangan terkini. Namun begitu kami terlibat secara aktif dalam perbincangan dengan pemberi pajak kami dengan niat untuk mengekalkan pesawat ini sebaik sahaja proses permodalan semula selesai,” kata syarikat penerbangan itu.

Sebelum ini dilaporkan MYAirline memulangkan kesemua 10 pesawat Airbus A320nya kepada pemberi pajak selepas menggantung operasinya pada 12 Oktober.

Pemberi pajak dilaporkan memohon untuk membatalkan pendaftaran lima daripada sepuluh pesawat terbabit dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) manakala lima lagi dipajakkan kepada AirAsia Bhd. – 8 November 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen