Isu Palestin bukan untuk lumba siapa juara, kata ahli akademik


Alfian Z.M. Tahir

Ahli akademik berkata perbezaan pandangan dalam isu konflik Palestin-Israel tidak harus menjejaskan keharmonian dalam masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2023.

KEMPEN solidariti Palestin tidak harus dijadikan bahan politik oleh mana-mana pihak sehingga mencetus perbalahan dalam masyarakat, kata ahli akademik. 

Sokongan terhadap Palestin sepatutnya menyatukan seluruh rakyat Malaysia dalam memperjuangkan keadilan, kata Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Prof Dr Azmi Hassan.

Meski wujud perbezaan pandangan mengenai isu Palestin, termasuk dalam kalangan ahli politik, namun ia tidak harus menjejaskan keharmonian sehingga memecahbelahkan rakyat, katanya.

“Kalau kita lihat di Israel, majoriti penduduk di sana menuntut Benjamin Netanyahu lepaskan jawatan (sebagai perdana menteri) dan bertanggungjawab atas serangan. Ada protes di Tel Aviv.

“Bagaimanapun, mereka sepakat tentang satu perkara. Mereka perlu bersatu ketika ini. Setidak-tidaknya ini yang harus kita contohi, bukannya berbalah sesama sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Rejim Israel bertubi-tubi menyerang Gaza selepas Hamas melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober, meragut 1,400 nyawa yang kebanyakannya orang awam dan menahan 230 tebusan.

Lebih 10,000 orang terbunuh sejak itu dalam serangan Israel ke atas Gaza, dengan separuh daripadanya adalah kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

Pandangan Azmi itu disokong Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata isu solidariti kepada Palestin disalahgunakan pihak tertentu demi kepentingan politik.

Ahli akademik itu berkata konflik di Gaza dipergunakan untuk membangkitkan isu yang tidak perlu dan sensitif seperti penggunaan senjata mainan di sekolah sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.

Mazlan menyelar tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas konflik yang telah meragut nyawa ribuan wanita dan kanak-kanak itu untuk meraih sokongan, dan pada masa yang sama menyalahkan pihak lain.

“Konflik ini telah dipolitikkan. Semua orang saling bersaing untuk pamer siapa yang lebih menjuarai isu Palestin.

“Keadaan ini boleh jadi tidak terkawal terutamanya antara orang Islam dan bukan Islam. Kita sudah pun dengar ada yang saling menuding jari hanya kerana berbeza pendapat. 

“Ketika orang lain dibunuh ada pula dalam kalangan kita yang ambil kesempatan demi kepentingan mereka sendiri. Tidak mustahil akan mencetus ketegangan apabila parti politik cuba ambil kesempatan dalam isu Palestin,” jelas Mazlan.

Pihak berkuasa perlu tegas

Mengulas lanjut, Mazlan berkata isu berkait solidariti terhadap Palestin ini memerlukan pemantauan pihak berkuasa, dan tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak yang sengaja mencetus ketegangan.

“Jika tidak dipantau dan dikawal, perbezaan pandangan ini akan menambahkan lagi perpecahan dalam masyarakat. Tidak cukup dengan isu siapa yang lebih memperjuangkan Islam kini ada yang cuba membuktikan siapa yang lebih juara dalam isu Palestin.

“Situasi ini tidak elok untuk negara kita yang berbilang kaum dan agama,” tambah beliau.

Minggu lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengingatkan semua pihak, baik penyokong kerajaan mahupun pembangkang agar tidak mengganggu ekosistem sekolah yang bersifat dinamik dengan pelbagai bangsa, kepercayaan dan latar belakang. 

Peringatannya itu merujuk kepada penganjuran program Minggu Solidariti Palestin di sekolah oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Fadhlina berkata semua pihak perlu memahami makna dan tujuan program itu diadakan, iaitu bagi mendidik murid sekolah berkaitan nilai kemanusiaan, keamanan dan pendidikan kedamaian. 

“Anak-anak yang didedahkan dengan 1,001 emosi memerlukan panduan dan pedoman dalam menavigasi emosi ke arah yang lebih murni. Ini bukan bukan soal siapa ‘terpaling’ Palestin, bukan soal siapa yang tunduk kepada desakan-desakan dangkal yang memilih antara dua kemanusiaan.

“...Jangan bising dan susah hati kalau sekolah tiada takbir atau Qunut Nazilah. Ada sebab kenapa ia berlangsung dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan dengan kesesuaian sekolah itu.

“Yang penting mesej pendidikan, kemanusiaan, kedamaian dan keamanan sejagat itu kena sampai. Pendidikan harus bermula dengan mesej yang kuat supaya mereka (murid-murid) berada dalam ekosistem yang dapat mempertahan dan mempersiapkan mereka dengan isu-isu di sekeliling mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi KPM di Dewan Rakyat. – 7 November, 2023.

Berita penuh di sini
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen