Pemimpin politik puji cadangan belia 18 tahun jadi senator


Angie Tan

Melantik seseorang yang berumur lebih 18 tahun sebagai Senator akan membolehkan kerajaan memahami isu belia dengan lebih baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

PEMIMPIN politik Cina memuji cadangan Yang di-Pertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya belia berumur lebih 18 tahun dilantik sebagai senator di Dewan Negara.

Mereka berkata cadangan itu satu perkembangan positif dalam politik yang membolehkan perwakilan lebih baik daripada generasi muda.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung memberitahu The Malaysian Insight mempunyai golongan muda sebagai senator akan menyumbang kepada perbincangan yang lebih baik mengenai isu berkaitan belia.

“Saya fikir ia satu langkah yang baik kerana ia akan menjadikan suara belia lebih didengari,” kata ahli Parlimen Pakatan Harapan itu.

Beliau bersetuju dengan pendapat Wan Junaidi melantik seseorang yang berumur lebih 18 tahun untuk menganggotai Dewan Negara akan membolehkan kerajaan memahami isu belia dengan lebih baik.

Pada masa ini, seseorang mesti berumur sekurang-kurangnya 30 tahun untuk menjadi senator.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Wayne Ong Chun Wei dalam pada itu berkata, menyenaraikan golongan muda akan membolehkan Dewan Negara lebih menggegar kerana ia memerlukan kumpulan senator yang lebih pelbagai.

Ong berkata remaja berusia 18 tahun pastinya datang dari pelbagai latar belakang berbeza.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan belia berumur lebih 18 tahun dilantik sebagai senator di Dewan Negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 November, 2023.

Mereka mungkin mempunyai tahap pendidikan yang berbeza, ada yang mungkin dari latar belakang sukan, malah seorang atlet atau mungkin dari industri hiburan, katanya.

“Datang dari latar belakang yang berbeza, mereka akan mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai isu berkaitan bidang minat dan kepakaran mereka. Memberi mereka peluang dan platform untuk bersuara dan memberikan pendapat mereka sudah tentu membina.

“Jika suara mereka didengari di Parlimen, ia boleh membawa kemajuan yang lebih baik kepada golongan muda.”

Ong, setiausaha kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) dan ketua pemuda DAP Selangor, menepis kebimbangan seseorang berusia 18 tahun mungkin tidak matang untuk menjadi senator.

“Adalah tidak adil untuk menilai mereka sebegitu.”

Katanya, agak kerap remaja berusia 18 tahun sering mengatasi orang dewasa dari segi kreativiti dan kebolehan.

“Lagipun kami tidak mengatakan semua 70 senator perlu berusia 18 tahun. Apa yang kami katakan adalah mengenai mempunyai perwakilan yang pelbagai.” – 5 November, 2023.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen