Kajian instrumen penetapan karbon dijangka siap tahun depan


Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan cukai karbon dalam masa terdekat tetapi mungkin terdapat keperluan dalam jangka masa panjang dan akan mengkaji kebolehlaksanaannya. – Gambar EPA, 2 November, 2023.

KAJIAN instrumen penetapan harga karbon Malaysia yang diketuai oleh Bank Dunia dan Impact Malaysia, dijangka siap pada 2024.

Hasil yang diperoleh akan membantu kerajaan memutuskan sama ada akan mengenakan cukai karbon atau mewujudkan skim perdagangan pelepasan, kata Shireen Jasmin Ali, pengarah Bahagian Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (i-ESG) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Awal tahun ini, Kementerian Kewangan berkata kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan cukai karbon dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan berpendapat mungkin terdapat keperluan untuk itu dalam jangka masa panjang dan akan mengkaji kebolehlaksanaannya sebagai salah satu cara untuk menyokong matlamat negara mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

Selain itu, Shireen Jasmin berkata kajian mengenai pengurangan pelepasan GHG dalam subsektor pembuatan juga akan siap pada tahun depan.

“Di bawah objektif Rangka Kerja i-ESG kebangsaan, kerajaan sedang mempertimbang untuk meningkatkan amalan mampan dalam sektor pembuatan, dengan garis panduan yang jelas serta konsisten  untuk industri dalam peralihan ke arah amalan pematuhan ESG,” katanya semasa perbincangan panel di  Forum Perdagangan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan juga sedang menilai dan membantu kesediaan syarikat terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima prinsip ESG. – Bernama, 2 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen