Kerajaan jangka pertambahan hasil RM3 bilion tahun depan


Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata jumlah tersebut merupakan anggaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2023.

KERAJAAN menjangkakan menerima tambahan sebanyak RM3 bilion hasil tahun depan melalui peningkatan lapan peratus terhadap kadar cukai perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican berkata jumlah tersebut merupakan anggaran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Seperti mana yang telah disebut, Kementerian Kewangan buat masa ini mengunjurkan akan menerima RM3 bilion daripada langkah berhubung dengan cukai perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas program perbincangan pasca Belanjawan 2024 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lepas, perdana menteri yang juga Menteri Kewangan Anwar Ibrahim telah mengumumkan cadangan kerajaan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus ketika ini.

Bagaimanapun, bagi tidak membebankan rakyat, peningkatan itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi, kata perdana menteri.

Sementara itu, menurut Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kerajaan dijangka mengutip RM35.8 bilion atau 1.8 peratus cukai jualan dan perkhidmatan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seiring dengan penggunaan yang lebih tinggi serta keyakinan terhadap sentimen pengguna dan perniagaan. – Bernama, 16 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen