Ribut, puting beliung landa Kubang Pasu


BEBERAPA rumah di daerah Kubang Pasu, Kedah mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut akibat ribut dan puting beliung dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Mohd Adenin Suhaimi berkata, pihaknya menerima laporan kejadian membabitkan Kampung Pida 3 dan Pida 4 Baru kira-kira 15 minit kemudian daripada orang awam.

“Susulan hujan lebat serta puting beliung yang melanda Kubang Pasu, beberapa rumah terjejas dan mengalami kerosakan harta benda,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata tindakan sedang diambil oleh Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kubang Pasu antaranya melakukan pemantauan serta membantu membersihkan kawasan terjejas.

Menurut Mohd Adenin, PKOD juga sedang mengumpul maklumat kejadian, butiran mangsa dan menasihatkan penduduk terbabit membuat laporan polis.

“Keadaan terkawal dan tiada mangsa cedera,” katanya dan menambah jumlah rumah terjejas masih belum diketahui. – Bernama, 29 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen