Adakah kerajaan negeri ingin musnahkan hutan simpanan kekal Kelantan?


PADA 11 Oktober lalu, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Negeri Kelantan telah mengeluarkan draf pindaan kepada Rancangan Struktur Negeri Kelantan, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas negeri.

Dalam meneliti perancangan ini, kami mendapati, pada 21 Oktober 2020, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan telah memutuskan untuk mengeluarkan status Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di semua kawasan Hutan Simpanan Kekal seluruh negeri Kelantan kecuali kawasan hutan tadahan air.

Dianggarkan sehingga 90% Hutan Simpanan Kekal di Kelantan akan hilang statusnya sebagai KSAS.

Untuk pengetahuan, KSAS mengikut definisi di bawah Rancangan Fizikal Negara adalah “suatu kawasan khas yang sangat sensitif kepada sebarang bentuk perubahan kepada ekosistemnya akibat proses alam semula jadi atau aktiviti di dalam atau di sekitarnya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, di mana tahap kesensitiannya ditentukan berasaskan pengintegrasian cirian unsur – unsur fungsi risiko bencana, nilai sokongan hidup serta nilai khazanah dan warisan kawasan tersebut”.

Apabila satu-satu kawasan itu dizonkan atau diklasifikasikan sebagai KSAS, maka kawasan terbabit wajib dilindungi & dikawal aktiviti pembangunannya.

Misalnya, kawasan yang dizonkan KSAS Tahap 1 memperincikan tiada sebarang pembangunan, pertanian atau pembalakan dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan alam semula jadi berimpak rendah, penyelidikan dan pendidikan

Kawasan hutan di bawah KSAS Tahap 2 pula bermaksud tiada pembangunan atau pertanian. Pembalakan secara terpilih / mampan dan pelancongan alam semula jadi berimpak rendah dibenarkan bergantung kepada halangan setempat.

Manakala kawasan hutan di bawah KSAS Tahap 3 pula memperincikan pembangunan terkawal di mana jenis dan kepadatan pembangunan dikawal bergantung kepada ciri-ciri halangan

Berdasarkan pemerhatian terhadap Rancangan Fizikal Negara, Rancangan Struktur Negeri & Rancangan Tempatan Daerah sedia ada, majoriti kawasan Hutan Simpanan Kekal di Kelantan berada di dalam Kawasan Sensitif Alam Sektiar Tahap 1 & 2.

Jika status ini dimansuhkan, kita seharusnya bimbang.

90% kawasan Hutan Simpanan Kekal Kelantan akan berpotensi dimusnahkan untuk pembangunan tidak mampan terutamanya pembalakan secara tebang habis pembukaan ladang pertanian besar-besaran, lombong, kuari, dan sebagainya.

Ini sekaligus bercanggah dengan dasar di peringkat persekutuan & prinsip pengurusan hutan secara berkekalan dan komitmen negara terhadap Dasar Kepelbagaian Biologi untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% liputan hutan.

Dengan polisi ekonomi kerajaan negeri yang tidak mampan yang terlalu bergantung kepada eksploitasi alam, khazanah hutan & sumber asli secara besar-besaran, dibuktikan lagi dengan semakin banyak pembukaan ladang monokultur dan pembalakan secara tebang habis di dalam kawasan hutan simpnanan kekal, kami tidak menolak kemungkinan usaha mengeluarkan status KSAS ini sebagai salah justifikasi bagi menghabiskan khazanah hutan dan sumber asli di Kelantan.

Kemusnahan hutan secara besar-besaran di negeri Kelantan mempunyai kesan yang ketara merentasi pelbagai sektor kehidupan manusia dan alam sekitar.

Penebangan hutan berskala besar mampu mengancam keselamatan air negeri kerana hutan memainkan peranan penting dalam mengawal selia dan menapis air hujan sebelum disalirkan ke sungai & loji rawatan air, dan kemusnahan boleh mengakibatkan penurunan kualiti air dan peningkatan kemarau dan kekurangan air.

Ia juga memburukkan lagi keadaan banjir, kerana hutan bertindak sebagai penampan semula jadi terhadap hujan lebat dan ketiadaan mereka boleh membawa kepada banjir lumpur yang lebih teruk dan kerap.

Masyarakat Orang Asli menghadapi kesan yang paling teruk akibat kehilangan sumber hidup mereka daripada air bersih, sumber makaanan hutan, gangguan hidupan liar dan kehilangan mata pencarian tradisional, manakala populasi hidupan liar sangat terancam dengan kemusnahan habitat dan peningkatan konflik manusia-hidupan liar.

Keselamatan rakyat negeri Kelantan juga akan terancam kerana risiko banjir yang semakin meningkat dan tanah runtuh, dan keselamatan makanan terjejas kerana tanah pertanian mengalami hakisan dan penurunan kesuburan tanah. Dan yang paling malang sekali, sektor ekonomi juga akan terjejas secara negatif melalui kemusnahan harta benda, dan peningkatan kos berkaitan pengurusan banjir dan rawatan air

Kami merayu agar Kerajaan Negeri Kelantan menarik semula keputusan tidak masuk akal ini sekaligus komited dalam memulihara & memelihara hutan khazanah alam di negeri tercinta ini.

Sebagai salah sebuah negeri yang membentuk jajaran kompleks hutan banjaran Titiwangsa dengan diliputi sebahagian besar kawasan Central Forest Spine yang menyokong berpuluh ribu spesis flora dan fauna, serta terdapatnya kawasan Taman Negara di Bahagia selatan Kelantan.

Seharusnya kerajaan negeri berfikir dengan lebih waras untuk melindungi kawasan ini bukan sahaja sesuai dengan tuntutan polisi dan dasar negara, tetapi juga selari dengan kewajipan agama di mana seorang Muslim wajib menjadi khalifah yang memakmurkan muka bumi.

Kami juga menyeru kepada orang ramai khususnya rakyat negeri Kelantan supaya bersama-sama menyuarakan bantahan mengikut saluran yang disediakan dengan menyertai program publisiti & pendengaran awam dengan mengisi borang bantahan yang boleh didapatkan dari setiap pejabat majlis daerah di Kelantan dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan (PLANMalaysia Kelantan).

Bantahan & representasi juga boleh dibuat melalui https://jpbd.kelantan.gov.my. – 28 Oktober, 2023.

*Hafizudin Nasarudin, Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam – Kuasa

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen