Entah betul tidak PM kena ugut kerana Palestin


SIRI serangan ganas rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza bukan saja telah melanggari undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva malah mencabuli hak asasi manusia.

Apa yang Israel lakukan bukan peperangan ke atas Hamas tetapi suatu genocide atau pembunuhan secara sengaja rakyat Palestin. Niat, Percakapan, dan perbuatan semua pemimpin utama mereka secara langsung menunjukkan perkara itu dan ini jelas adalah satu jenayah perang.

Hipokrasi negara-negara Barat yang menjadi sekutu kuat Israel juga telah membenarkan pembunuhan beramai-ramai ini berlaku. Majlis Keselamatan PBB menyaksikan usul-usul gencatan senjata yang dibawa telah ditolak oleh Amerika Syarikat dengan menggunakan kuasa veto.

Israel menjadi angkuh kerana mereka tahu kuasa-kuasa besar Barat seperti AS, Britain dan Perancis telah dan akan sentiasa menjadi perisai politik buat Israel di pentas antarabangsa.

Bersatu mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim rejim Israel, dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak agar sekatan menyeluruh kemanusiaan ke atas Gaza oleh Israel ditarik balik. Badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pula perlu menunaikan tanggungjawab menerajui usaha menamatkan sistem apartheid Israel di bumi Gaza.

Rakyat Palestin amat memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan segera pencabulan undang-undang antarabangsa dan memastikan hak dan keselamatan mereka dilindungi.

Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mesti lebih proaktif untuk mendesak resolusi segera mengutuk dan merangka tindakan untuk menghentikan kekejaman Israel.

Malaysia mesti menggembleng segala kudrat diplomatik bukan saja melalui PBB tetapi juga badan-badan multilateral lain seperti NAM dan BRICS untuk mendesak gencatan senjata dipersetujui oleh Amerika Syarikat agar tekanan pelbagai peringkat ini mampu menghalang pembantaian yang Israel sedang lakukan tanpa henti.

Komitmen Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin adalah tonggak dasar luar negara kita selama ini. Namun, keengganan Perdana Menteri untuk menggerakkan usaha diplomatik di peringkat antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin bukan sahaja amat mendukacitakan, malah memalukan.

Kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau diugut oleh negara kuasa besar juga menunjukkan sikap pengecut beliau. Entah benar atau tidak wujud ugutan tersebut juga tidak dapat dipastikan kesahihannya. Sehingga kini beliau gagal mendedahkan negara mana yang membuat ugutan itu.

Jika benar wujud ugutan, Perdana Menteri mesti mendedahkan negara manakah yang membuat ugutan itu dan Wisma Putra hendaklah membuat bantahan sekeras-kerasnya menerusi kedutaan negara tersebut. Ini maruah negara kita yang mesti dipertahankan. – 28 Oktober, 2023.

* Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen