Kumpulan agama harap perintah pentadbiran baharu guna kalimah 'Allah' adil


Noel Achariam

Pada 15 Mei, Putrajaya menarik balik rayuannya untuk menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah 'Allah' untuk menggambarkan Tuhan di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2023.

DRAF arahan pentadbiran baharu mengenai penggunaan kalimah “Allah” mestilah adil kepada semua agama tanpa sebarang larangan langsung terhadap penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam, kata kumpulan antara agama.

Bekas presiden Majlis Perundingan Buddhisme, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) R.S. Mohan Shan berharap arahan baharu itu akan memihak kepada semua kaum.

“Kami masih tidak pasti apakah perintah baharu ini, kami berharap tiada larangan penggunaan perkataan itu.

“Terdapat sebutan perkataan ‘Allah’ dalam buku agama Sikh dan malah kami penganut Hindu menggunakan perkataan itu dalam kesusasteraan Tamil dan beberapa lagu pemujaan,” kata Mohan kepada The Malaysian Insight.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata draf itu akan dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja tidak lama lagi, sambil menambah lima sesi libat urus sudah dijalankan mengenai penggunaan perkataan itu. 

“Hasilnya dipersembahkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Draf itu juga akan dibentangkan pada Majlis Raja-Raja dari 25 hingga 27 Oktober ini,” kata Saifuddin di Dewan Rakyat.

Mohan yang juga bekas presiden Hindu Sangam, berkata tidak wajar menghalang orang ramai daripada menggunakan perkataan itu, kerana ia ada dalam buku agama mereka.

“Jadi, bagaimana kita hendak melaksanakan sembahyang? Ia adalah sebahagian daripada amalan kami.

“Kami berharap akan ada keputusan yang menggembirakan semua orang.”

Sementara itu, paderi kanan Reverend Dr Herman Shastri berkata semua agama lain menggunakan perkataan itu sejak berabad lamanya.

“Apa sahaja yang difikirkan oleh kerajaan, harus mengambil kira hak orang Kristian untuk membaca kitab suci mereka dalam bahasa kebangsaan,” kata Herman.

“Ia (Allah) sudah ada dalam kitab Sikh, Hindu dan terjemahan Bible.

 

“Orang Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan Bahasa Malaysia. Oleh itu, ia ada di dalam Bible mereka dan melalui terjemahan asli Bible dan dalam kesusasteraan Kristian.”

Herman yang merupakan timbalan pengerusi Jawatankuasa Khas Persefahaman Antara Agama yang ditubuhkan oleh Kabinet dari 2010 hingga 2020 berkata terdapat peruntukan kebebasan beragama dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11).

“Kami berharap perintah baharu itu tidak akan melanggar kebebasan beragama seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 11) yang merangkumi pembacaan kitab suci dalam mana-mana bahasa yang dipilih, hak asasi manusia dan hak kebebasan beragama yang dijunjung oleh pelbagai masyarakat agama selama berabad-abad.”

Pada 15 Mei, Putrajaya menarik balik rayuannya untuk menghalang orang bukan Islam daripada menggunakan kalimah “Allah” untuk menggambarkan Tuhan di Malaysia.

Ia difailkan oleh peguam kanan persekutuan yang mewakili Jabatan Peguam Negara.

“Perayu (Menteri Dalam Negeri dan kerajaan) tidak berhasrat untuk meneruskan notis rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan menolak keseluruhan rayuan tanpa perintah mengenai kos,” tulis notis itu yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Ia selepas Putrajaya memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan perkataan “Allah” dan tiga perkataan lain dalam konteks agama.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi, selepas pertempuran undang-undang selama 13 tahun antara kerajaan dan Jill Ireland, seorang wanita Kristian dari Sarawak.

Nor Bee, dalam keputusannya, menyifatkan arahan Kementerian Dalam Negeri 1986 untuk melarang penggunaan empat perkataan itu oleh orang bukan Islam 35 tahun lalu sebagai “menyalahi undang-undang” dan “tidak rasional”. – 26 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen