Moscow rekrut wanita untuk operasi ketenteraan


Rusia merekrut wanita untuk menjadi penembak tepat dan mengendalikan dron. – Gambar EPA, 24 Oktober, 2023.

MOSCOW mula merekrut wanita untuk menyertai operasi ketenteraan di Ukraine, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan.

Menurut portal Internet The Important Stories (istories) pada Isnin, mereka direkrut untuk menjadi penembak tepat dan mengendalikan dron.

Sebelum ini, wanita hanya berkhidmat dalam unit perubatan dan tugasan di bahagian dapur.

Anggota tentera wanita ditawarkan kontrak selama enam bulan dengan gaji bulanan kira-kira 220,000 rubel (AS$2,330).

Mereka juga akan dibayar bonus 1 juta rubel hingga 3 juta rubel, jika mengalami kecederaan dan  berlaku kematian, waris akan menerima kira-kira 5 juta rubel.

Iklan pengambilan disiarkan dalam rangkaian sosial Rusia Vkontakte.

Konflik Rusia-Ukraine sudah berlarutan lebih 20 bulan.

Menurut anggaran Kementerian Pertahanan Britain (MoD), kira-kira 240,000 hingga 290,000 tentera Rusia terbunuh atau cedera sejak Moscow memulakan pencerobohannya.

Ini termasuk antara 150,000 dan 190,000 yang maut atau tidak lagi cergas dalam pertempuran. Angka ini tidak termasuk anggota daripada kumpulan upahan Wagner atau banduan yang paksa ke barisan hadapan.

Memandangkan pilihan raya presiden dirancang pada musim bunga 2024, pakar mengandaikan Kremlin mahu mengelak kerahan seterusnya dengan merekrut lebih ramai sukarelawan sehingga selesai pemilihan. – Bernama, 24 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen