Putrajaya tidak halang penunjuk perasaan kutuk Israel, kata Saifuddin


Alfian Z.M. Tahir

Orang ramai mempertikaikan tujuan Viva Palestina Malaysia melarang peserta demonstrasi pro Palestin pada Ahad lalu daripada melaungkan Allahuakbar dan mengutuk presiden Israel. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2023.

KEPUTUSAN penganjur untuk tidak membenarkan penunjuk perasaan pro Palestin menyerang Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden AS Joe Biden pada demonstrasi Ahad lalu, tidak mencerminkan pendirian Putrajaya, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri dalam negeri itu berkata keputusan itu dibuat penganjur himpunan itu, Viva Palestina Malaysia (VPM), bukan kerajaan.

“Komitmen dan simpati kita adalah untuk perjuangan itu, tidak ada siapa boleh nafikan. Saya percaya rakan-rakan pembangkang juga berkongsi sentiment yang sama.

“Soal boleh atau tidak mengecam Benjamin Netanyahu, pendirian kita juga jelas. Hakikatnya kita mengiktiraf perjuangan rakyat Palestin dengan sendiri kita menidakkan sokongan kepada Netanyahu.

“Tapi kalau di sana himpunan dihadiri 300, 400 orang dianjurkan oleh satu pertubuhan dan kemudiannya kalau dia mengenakan apa-apa sekatan, ‘do and don’t’, itu harus dilihat secara fakta kejadian pada waktu itu.

“Ia tidak mencerminkan pendirian sepenuhnya kerajaan hari ini dan umat Islam yang cintakan keamanan dan perdamaian,” katanya di Dewan Rakyat.

Orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial dan mempertikaikan tujuan Viva Palestina Malaysia yang dipengerusikan oleh Dr Musa Nordin melarang peserta demonstrasi itu daripada melaungkan Allahuakbar dan mengutuk presiden Israel. Malah, bendera Hamas juga tidak dibenarkan dikibarkan.

Laman Facebook Viva Palestina Malaysia dipenuhi dengan komen yang mengecam kumpulan itu dalam cara ia melayan penunjuk perasaan.

Ramai yang berkongsi gambar plakad anti-Netanyahu dilarang di protes itu.

Dr Musa menafikan tuduhan itu dengan berkata ada peserta dilabel sebagai “Zionis” kerana membawa plakad menayangkan gambar perdana menteri Israel, dengan perkataan “syaitan” tertulis di atasnya.

Musa berkata pertubuhan itu hanya memperjuangkan pendirian NGO itu di mana menayangkan plakad atau imej muka Netanyahu adalah tindakan provokatif.

Katanya, peraturan yang diikuti itu selaras dengan arahan polis bagi memastikan perhimpunan itu kekal berada dalam sempadan kemanusiaan.

“Plakad itu tidak mencerminkan etika VPM, di mana kita kekalkan standard kita, walaupun dalam keadaan emosional.

“Saya tidak kata dia zionis. Saya katakan kita tidak perlu sampai jadi zionis,” katanya dalam satu kenyataan semalam. – 24 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen