Melayu sudah membela Palestin sejak dahulu


PERJUANGAN rakyat Palestin bagi membebaskan tanah air mereka bukanlah asing bagi orang Melayu. Orang Melayu sebenarnya sudah bersimpati dan membela nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh imigran Yahudi sejak tahun 1930 lagi, iaitu ketika krisis penindasan rakyat Palestin sedang berkembang pesat. 

Akhbar Semangat Islam melaporkan bahawa Haji Abu Bakar Ashaari, Presiden al-Jamiyyah al-Khairiyyah al-Ṭalabiyyah al-Azhariyyah al-Jawah (Persatuan Kebajikan Pelajar Jawi al-
Azhar) bersama sahabatnya Abdul Kahar Muzakkir tiba di Palestin pada tahun 1930. 

Dalam pertemuan tersebut, Suruhanjaya Buraq al-Sharif ditubuhkan di bawah Liga Bangsa bagi mengelakkan tercetusnya konflik antara agama. Pada tahun 1931, Mufti Jurusalem iaitu Hajj Amin al-Husayni telah menganjurkan Persidangan Umum Islam di Palestin bagi menyatukan pandangan umat Islam dalam rangka mempertahankan bumi Palestin. 

Dalam persidangan tersebut, Abdul Kahar Muzakkir telah dilantik sebagai Setiausaha Muktamar Alam Islami. Dalam hal ini, status sebagai pelajar tidak pernah menghalang pelajar Melayu di Mesir untuk mengambil berat terhadap saudara seagama mereka di Palestin, malah turut sama memberikan buah fikiran bagi menyelesaikan konflik tersebut.

Selain itu, antara tokoh politik Tanah Melayu yang terawal membela perjuangan rakyat Palestin ialah Dr. Burhanuddin al-Helmy (1911-1969). Pada pertengahan tahun 1930-an, beliau dilaporkan pernah melawat Palestin seterusnya menyertai demonstrasi menentang Perjanjian Balfour 1917 yang menjadi punca kepada penindasan rakyat Palestin. 

Sekembalinya ke Tanah Melayu pada tahun 1936, beliau ditahan oleh British akibat penglibatan beliau dalam demonstrasi tersebut, namun peristiwa tersebut tidak pernah mematahkan semangat beliau bagi membela rakyat Palestin. 

Pada tahun 1939, beliau pernah menerbitkan sebuah majalah berjudul Taman Bahagia yang pernah memaparkan artikel tulisan beliau berkenaan perjuangan rakyat Palestin. Namun British bertindak mengharamkan penerbitan majalah tersebut kerana disyaki boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap penjajahan British di Tanah Melayu.

Pemimpin Melayu lain yang giat memperjuangkan isu Palestin ialah tiga tokoh dari Singapura iaitu Sardon Jubir, Haji A. Mohd. Hussein, dan Abdullah Yahaya. Pada tahun 1947, tindakan British menyerahkan isu Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seterusnya mengemukakan Resolusi 181 melalui kaedah pemisahan Palestin kepada wilayah Arab Palestin dan Yahudi menyebabkan mereka mengadakan mesyuarat bagi mencadangkan langkah bagi membantah cadangan PBB tersebut. 

Pada 20 Disember 1947, satu mesyuarat telah diadakan di bangunan Persatuan Guru Melayu Singapura yang membawa kepada penubuhan Singapore Palestine Anti-Partition Committee (Jawatankuasa Antipemisahan Palestin Singapura), manakala Abdullah Yahaya dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. 

Pada 27 Disember 1947, jawatankuasa tersebut telah menganjurkan perhimpunan yang dihadiri sekitar 500 orang bagi menyatakan bantahan terhadap rancangan pemisahan Palestin.

Persatuan Melayu Singapura juga merupakan antara pertubuhan Melayu yang giat menyokong perjuangan rakyat Palestin yang terlibat dalam Perang Arab-Israel 1948. Persatuan Melayu Singapura misalnya telah mengusulkan bantahan rasmi terhadap pendudukan Palestin oleh imigran Yahudi ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno pada 25 hingga 26 Januari 1948. 

Selain itu, perjuangan membela rakyat Palestin turut disokong oleh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ketika berlangsungnya Persidangan Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) pada bulan Mac 1948 di Maahad al-Ihya’ al-Syarif, Gunung Semanggol, Perak.

Perjuangan orang Melayu bagi membela nasib rakyat Palestin juga melibatkan penerbitan buku yang dapat menyedarkan orang Melayu agar peka terhadap isu penindasan rakyat Palestin. 

Antaranya penerbitan buku berjudul Perang Suci di Palestin tulisan A.H. Edrus atau nama penuhnya Syed Abdullah bin Hamid al-Edrus (1912-1969). Lebih istimewa lagi, Mufti Baitulmaqdis turut mengucapkan tahniah kepada beliau atas penerbitan buku tersebut pada 21 Mei 1948. Buku tersebut dilaporkan bukan sahaja laris dijual di Tanah Melayu, tetapi turut mendapat sambutan yang meriah di Indonesia.

Di samping itu, orang Melayu turut memberikan sumbangan kewangan bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin. Pada awal tahun 1949, sejumlah $14,000 telah berjaya dikumpulkan oleh Singapore Muslim Palestine Relief Committee untuk disalurkan kepada pelarian rakyat Palestin.

Semua ini jelas menunjukkan sikap pemurah dan prihatin orang Melayu ketika itu terhadap nasib yang menimpa rakyat Palestin.

Jelaslah bahawa orang Melayu mula bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak tahun 1930 lagi. Semua ini dapat menjelaskan mengapa sehingga kini isu perjuangan rakyat Palestin cukup dekat dengan hati orang Melayu. 

Bagi orang Melayu, kedudukan Palestin yang ‘jauh’ iaitu beribu batu dari Malaysia bukanlah satu halangan yang besar, kerana nasib rakyat Palestin cukup ‘dekat’ di hati orang Melayu. 

Sejak sebelum merdeka, perasaan simpati itu diterjemahkan dalam bentuk buah fikiran dan penentangan melibatkan tokoh perseorangan dan pertubuhan Melayu, di samping penerbitan buku dan bantuan kewangan bagi rakyat Palestin. 

Selepas merdeka, nasib rakyat Palestin terus mendapat tempat dalam jiwa orang Melayu terutamanya ketika tercetusnya Perang Arab-Israel 1967. Malah kerajaan Malaysia sendiri terus konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin sehingga kini.

Semoga orang Melayu terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin, dan semoga ada sinar kebahagian buat rakyat Palestin. – 23 Oktober, 2023.

 

* Dr. Abu Hanifah Haris, Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen