Peniaga bakal berdepan penurunan jualan motosikal 


Angie Tan

Pengedar mengunjurkan penurunan jualan dalam kenderaan dua roda itu menjadi antara 10% dan 20% menjelang akhir tahun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2023.

PENINGKATAN jualan motosikal yang menjadikan Malaysia pasaran ke-12 terbesar musnah selepas 18 bulan berikutan industri gig dan ringgit yang semakin lemah, kata peniaga.

Kini pengedar mengunjurkan penurunan jualan dalam kenderaan dua roda itu menjadi antara 10% dan 20% menjelang akhir tahun.

Mereka berkata peningkatan yang didorong oleh permintaan daripada ekonomi gig - penghantaran makanan dan perkhidmatan kurier - juga telah perlahan.

Kejatuhan ringgit juga telah meningkatkan harga dan ia mengakibatkan permintaan yang perlahan kerana peniaga terpaksa menaikkan harga.

Mereka berkata bank juga mengetatkan pengaturan pinjaman kerana kebanyakan peminjam - daripada kumpulan B40 - bergelut dengan pembayaran.

Menurut angka Persatuan Peniaga Motosikal & Skuter Malaysia, jualan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menurun secara mendadak berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan penurunan bermula pada separuh kedua tahun ini.

Tahun lepas ternyata menjadi tahun terbaik untuk jualan motosikal dengan 671,386 unit terjual, menjadikan Malaysia pasaran motosikal ke-12 terbesar di dunia.

Tahun ini juga bermula dengan kukuh dengan jualan meningkat pesat pada suku pertama pada 167,549 unit (+21.6%) tetapi mulai April, perbandingan tahun ke tahun menjadi sebahagian besarnya negatif, menghakis semua kelebihan yang diperoleh pada suku pertama.

Berikutan kejatuhan 37.4% yang dilaporkan pada Jun, separuh pertama 2023 berakhir dengan 293,924 jualan (-5.9%).

Trend ini, kata peniaga, akan mengakibatkan penurunan jualan sehingga 20% menjelang akhir tahun.

Presiden persatuan itu, Wee Hong, memberi dua sebab penurunan itu - ekonomi yang lemah dan kesukaran mendapatkan pinjaman bank.

Wee memberitahu The Malaysian Insight kegagalan berterusan ekonomi negara untuk pulih daripada kemerosotan pandemik Covid-19 menjadi sebab nombor satu.

“Keadaan ekonomi menjadi faktor utama. Majoriti pekerja dalam kumpulan B40 bergantung kepada motosikal untuk bekerja.

“Ia adalah pengangkutan pilihan. Yang membimbangkan juga, industri gig, khususnya penghantaran makanan dan perkhidmatan kurier, semakin berkurangan dan oleh itu permintaan terhadap motosikal juga semakin berkurangan,” katanya.

Wee berkata ekonomi yang merosot, ditambah dengan peningkatan inflasi, menjadikan kos sara hidup semakin sukar bagi kebanyakan orang dalam kategori pendapatan itu.

“Dengan ringgit yang semakin menyusut, ramai yang sukar untuk membuat pembayaran balik pinjaman mereka.”

Kesannya, katanya, adalah pihak bank berhati-hati dengan peningkatan jumlah pembayaran tertunggak dan mengenakan syarat lebih ketat ke atas pinjaman tersebut.

“Pada masa peningkatabn jualan tahun lepas, selalunya berlaku kekurangan bekalan. Sekarang bekalannya mencukupi.

“Hampir semua kedai motosikal dipenuhi dengan pelbagai model tetapi pembeli adalah sedikit.”

Mengetengahkan masalah ekonomi, Pengerusi Persatuan Peniaga Motosikal Muar Cheong Beng Chio, berkata banyak kilang perabot di pekan mereka gulung tikar.

“Ramai di Muar menganggur. Apabila pekerja kehilangan pekerjaan, mereka tidak perlu lagi membeli motosikal untuk pengangkutan yang seterusnya membawa kepada penurunan dalam jualan.”

Cheong berkata penurunan itu ketara dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu.

Ia adalah 20% bulan lepas, katanya.

Beliau berkata walaupun pengedar menawarkan diskaun besar untuk meningkatkan jualan, hanya sedikit yang mengambil.

“Rakyat tidak mempunyai kuasa membeli.”– 23 Oktober, 2023.

Berita penuh di sini. 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen