SYARIKAT penerbangan utama Hong Kong, Cathay Pacific berkata pada Ahad ia akan membatalkan semua penerbangan antara bandar itu dan Tel Aviv sehingga akhir tahun, berikutan konflik Israel-Hamas.
“Memandangkan situasi berterusan di Israel, semua penerbangan Cathay Pacific antara Hong Kong dan Tel Aviv mulai hari ini hingga 31 Disember 2023 akan dibatalkan,” menurut syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Ia juga menggesa pelanggannya supaya menyemak maklumat penerbangan dan pengumumannya untuk kemas kini mengenai pelepasan selepas 31 Disember.
Sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Israel berikutan serangan Hamas pada 7 Oktober, menurut pegawai Israel.
Israel bertindak balas dengan serangan bertubi-tubi ke atas Semenanjung Gaza yang mengorbankan lebih 4,300 rakyat Palestin, kata kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di kawasan itu.
Puluhan ribu tentera Israel berkumpul di sekitar Gaza untuk serangan darat yang diramalkan secara meluas.
Cathay adalah yang terbaharu dalam rangkaian syarikat penerbangan menghentikan penerbangan ke Israel susulan konflik itu.
Minggu lalu, syarikat penerbangan AS Delta berkata ia membatalkan semua penerbangan ke negara itu kerana ia mencari “alternatif selamat” untuk pelanggan yang melakukan perjalanan ke Tel Aviv.
American Airlines, Air France, Lufthansa, Emirates dan Ryanair turut menggantung penerbangan ke Tel Aviv hujung minggu lalu. – AFP, 22 Oktober, 2023.
Komen