SYARIKAT penerbangan utama Hong Kong, Cathay Pacific meminta 27,000 kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji sehingga tiga minggu, kata Ketua Pegawai Eksekutif Augustus Tang pada Rabu, ketika ia berdepan krisis berikutan wabak koronavirus baru.
“Saya berharap anda akan mengambil bahagian, dari kakitangan barisan hadapan hinggalah kepada pemimpin kanan kami, dan berkongsi cabaran kami sekarang,” kata Tang dalam mesej video yang dipaparkan dalam talian.
Permintaan itu mendedahkan keadaan terdesak Cathay, yang terjejas teruk tahun lalu oleh beberapa kekacauan dan protes politik di Hong Kong dan kini dengan wabak virus.
Koronavirus, yang mula dikesan di bandar Wuhan akhir tahun lalu, tersebar pada cuti Tahun Baharu Cina yang kebiasaannya menjadi saat paling sibuk bagi syarikat penerbangan serantau.
Sebaliknya, puluhan syarikat penerbangan antarabangsa mengurangkan atau menggantung penerbangan ke China dalam usaha mengekang penyebaran patogen dan jumlah penumpang mendadak turun.
Dalam mesej videonya kepada pekerja, Tang memberi amaran Cathay sedang berdepan “salah satu cuti Tahun Baharu Cina paling sukar yang pernah kita alami” kerana virus itu.
“Dan kami tidak tahu berapa lama ia akan berlaku,” katanya. “Dengan unjuran yang tidak menentu, mengawal tunai kini menjadi keutamaan untuk melindungi perniagaan kami.”
Beliau mengumumkan beberapa langkah untuk menangani krisis, termasuk meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji secara sukarela.
“Saya sedar ini sukar untuk didengar dan kami mungkin perlu mengambil langkah seterusnya, tetapi dengan menyokong skim cuti khas, anda membantu pada masa yang diperlukan,” katanya.
Beliau juga meminta para pembekal mengurangkan harga dan berkata syarikat akan membuat pelarasan jangka pendek berhubung kapasitinya, termasuk langkah yang telah diumumkan untuk mengurangkan penerbangan ke tanah besar China sebanyak 90%. – AFP, 5 Februari, 2020.
Komen