PRK Jepak: GPS akan umum manifesto, kata Awang Tengah


GPS menampilkan Iskandar Turkee (tengah) bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini dan ditentang calon PBK, Stevenson Joseph Sumbang dan calon Aspirasi, Chieng Lea Phing. – Gambar Facebook GPS, 22 Oktober, 2023.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) akan memperkenalkan manifesto bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dalam masa terdekat.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Awang Tengah Ali Hasan berkata, manifesto itu sedang diperincikan dan akan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan di kawasan Jepak.

“Menerusi manifesto ini kita akan mengemukakan perancangan untuk masa depan dan projek yang kita akan laksanakan di kawasan Jepak,” katanya kepada pemberita di Kampung Warisan Jepak di Bintulu, Sarawak hari ini.

Sementara itu, Awang Tengah yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS Jepak berkata, gabungan itu turut mengalu-alukan bantuan daripada parti kerajaan perpaduan termasuk Barisan Nasional untuk turut membantu semasa tempoh kempen PRK itu.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.

PRK DUN Jepak pada 4 November ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – Bernama, 22 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen